Personaliti media sosial tempatan dikenali sebagai Eyka yang dilaporkan hilang ketika merakamkan kandungan atau ‘content’ paranormal di sekitar hutan di Bandung, Indonesia telah ditemui selamat, malam tadi.
Gadis terbabit ditemukan selamat kira-kira pada pukul 10 malam Rabu yang mana kejadian penemuan berkenaan turut disiarkan menerusi satu sesi penstriman langsung di platform TikTok.
Dalam perkongsian tersebut, gadis berusia 22 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan tampak lemah longlai oleh rakan-rakannya yang mencarinya di dalam hutan berkenaan.
Eyka dikhabarkan berjaya ditemukan selepas rakannya yang melakukan penstriman langsung tersebut bertindak melaungkan azan di dalam usaha untuk mencari gadis terbabit.
Khabar penemuan Eyka turut dikongsikan di akaun TikTok milik Ammar Nazhan yang juga merupakan pempengaruh sensasi selaku individu mengetuai aktiviti paranormal tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, pasukan @𝓡 𝓐 𝓢 𝓩 ★ᴡꜰᴘ★ berjaya jumpa Eyka setelah tiga hari hilang! Allahuakbar! Terima kasih Indonesia dan Malaysia sudi bantu-membantu,” katanya dalam perkongsian itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa syukur kerana Eyka berjaya ditemukan selain memuji tindakan individu yang menemuinya melaungkan azan.
Bagaimanapun ramai juga pengguna turut berkongsikan rasa sangsi dengan kejadian tersebut sama ada ia sekadar lakonan semata-mata untuk melariskan kandungan mereka atau benar-benar berlaku.
“Terima kasih Arasz yang azan tadi. Tiba-tiba terjumpa Eyka selepas itu. Sebak tengok tadi. Arasz menangis selepas itu buat sujud syukur,” kata seorang pengguna yang turut menonton siaran langsung berkenaan.
“Lakonan yang mantap. Nampak macam betul-betul. Baik punya rancangan dan strategi. Boleh menang anugerah ini,” kongsi pengguna lain yang merasa sangsi dengan kesahihan kejadian itu.

Terdahulu, insiden kehilangan Eyka tular di media sosial selepas didedahkan oleh Ammar yang menyedari ketiadaan gadis itu sekitar jam 2 pagi pada Isnin lalu ketika merakam kandungan paranormal di dalam hutan.
Menurut pemilik nama sebenar Ammar Nazhan Noralyadi itu, seramai 20 orang mengikuti rombongan ke kawasan berkenaan namun hanya tujuh individu termasuklah Eyka yang masuk ke dalam hutan.
Difahamkan Eyka atau nama sebenarnya Nur Syafiqah, 22, merupakan satu-satunya ahli rombongan perempuan yang ikut masuk ke dalam hutan untuk merakamkan kandungan tersebut.
Ammar mendakwa pihaknya hanya membuat laporan polis selepas 48 jam kehilangan rakannya berikutan itulah tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di negara tersebut.
Pempengaruh berusia 29 tahun itu juga memaklumkan bahawa pasukannya turut mengambil insiatif untuk mencari Eyka bersama penduduk tempatan sebelum laporan polis berkenaan dilakukan.
Baca juga: Pemandu Uber jadi bualan di Reddit jadikan kereta macam kedai runcit