Pemuda AMANAH Selangor hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor berkaitan dengan cadangan menambah baik Belanjawan Selangor 2022.
Menerusi kemaskini hantaran Facebooknya tadi, pemuda AMANAH Selangor berkata, pihaknya telah menggariskan lima teras cadangan sebagai penambahbaikan terhadap belanjawan negeri yang akan dibentang Datuk Seri Amirudin Shari, Jumaat ini.
“Kami sentiasa menyokong dan membantu usaha kerajaan bagi memastikan rakyat menerima manfaat yang banyak dari kerajaan.
“Memorandum telah diserahkan kepada Menteri Besar, Exco usahawan dan Exco PBT dan pengangkutan awam,” katanya.
Tambahnya lagi, lima teras cadangan utama yang digariskan dalam memorandum itu meliputi pendidikan, ekonomi, orang kurang upaya (OKU), pengangkutan awam dan pembangunan digitalisasi.
Belanjawan Selangor 2022 akan dibentang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat dengan menumpukan usaha bagi merancakkan semula sektor ekonomi dalam membantu rakyat pasca pandemik Covid-19.
Amirudin sebelum ini memaklumkan beberapa langkah bagi mempercepatkan proses pemulihan sektor ekonomi akan digerakkan menerusi belanjawan berkenaan bagi mengembalikan semula kehilangan hasil negeri pada 2020 dan tahun ini