Pemuda berjaya ubah nasib keluarga miskin, kini tersenarai dalam Forbes ’30 Under 30 Asia’

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak pernah jadikan kekurangan wang sebagai penghalang untuk mengubah nasib keluarga, pemuda dari Indonesia ini akhirnya berjaya menempa nama dalam Forbes.

Walaupun membesar dalam keluarga yang serba kekurangan, Tri Ahmad Irfan berjaya tersenarai dalam majalah Forbes, di bawah kategori 30 Under 30 Asia untuk Social Impact.

Memetik portal Detik, Irfan adalah Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) aplikasi Lumina.

Lumina adalah satu aplikasi di Indonesia untuk mencari kerja tanpa perlu bersusah payah malah lebih sejuta orang sudah mendaftar bagi mengasah bakat dan melihat peluang pekerjaan.

Berasal daripada keluarga yang susah

Bercerita kepada detik, irfan memaklumkan bahawa bapanya pernah mengambil upah sebagai tukang pecah batu, manakala ibunya bekerja sebagai pembantu rumah.

Malah kedua ibu bapanya juga tidak bersekolah, sebaliknya hanya bekerja sebagai petani satu ketika dahulu.

Lebih menyedihkan, keluarga mereka mengisi perut dengan beras bantuan daripada kerajaan dan tinggal di rumah yang berlantaikan tanah.

Mahu tukar nasib keluarga

Segalanya berubah selepas Irfan menyertai Kejohanan Olimpik Sains Nasional.

Pemuda tersebut berjaya menerima biasiswa pendidikan dan akhirnya melanjutkan pengajian di Fakulti Ilmu Komputer di Universiti Indonesia (UI) pada tahun 2013.

“Sejak UI, saya tergerak hati nak belajar programming dan membina perisian sehingga akhirnya dapat intern di Lembah Silikon di Amerika Syarikat.

“Setelah banyak belajar ilmu baharu, saya bangunkan aplikasi Lumina. Ia adalah aplikasi cari kerja dan info pencari kerja di seluruh Indonesia,” ujarnya.

Aplikasi tersebut dibangunkan dek kerana orang disekitarnya hanya bekerja sebagai buruh dan mengharapkan aplikasi tersebut dapat membantu mereka mencari kerja yang lebih sesuai.

Baca juga: Pesanan pasal tak mahu curang akhirnya makan diri, netizen berjaya korek nasihat lama abang Tesla