Gara-gara penangan makanan viral terbaru iaitu Loaded Nachos Cheese yang menjadi buruan penggemar makanan barat, ia memberi rezeki melimpah ruah buat para peruncit yang menjual keropok itu.
Jika sebelum ini ia hanya dianggap jajan atau kudap-kudapan ringan, siapa sangka keropok Nachos atau Chachos kini dijadikan menu ringan dengan tambahan makanan yang mengenyangkan.
Secara asasnya Loaded Nachos Cheese terdiri daripada daging cincang yang merupakan bahan utamanya dan bahan lain sebegai pelengkap iaitu bawang merah dipotong dadu, tomato, lada benggala, daun ketumbar, cheese dan dua jenis sos istimewa yang dibuat sendiri oleh peniaga.
Dalam satu perkongsian di TikTok, seorang peniaga berkongsi momen memborong 9 karton jajan Nachos di beberapa kedai dan pasar raya sebagai stok jualannya.
Pekerja sebuah pasaraya juga terpaksa selongkar berkotak-kotak stok keropok berkenaan di atas rak.
“Saya nak semua bang, semua,” tulis kapsyen @maggihantu.
Di ruangan komen, beberapa pengguna memberitahu daging cincang yang dijual di pasar raya berdekatan rumahnya juga habis diborong peniaga.
Selain itu ada yang mengatakan pasar raya dan peruncit paling gembira apabila keropok mereka laku diborong.
Ada yang memberitahu peniaga tersebut borong habis keropok nachos di Rosyam Mart.
“Oh ini yang saya nampak haritu dekat ST Rosyam. Sampai senget senget owner tolak troli eh,” kata pengguna TikTok.
Baca juga: Netizen seram tengok kanak-kanak mandi air banjir macam ‘waterpark’, risau kena penyakit berjangkit