Terima mas kahwin 88 gram emas, video nikah pasangan ini buat netizen terbeliak biji mata!

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan majlis akad nikah melibatkan sepasang pengantin uang diadakan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini telah berjaya mengundang perbincangan hangat di platform media sosial.

Mana tidaknya menerusi rakaman itu, orang ramai dapat menyaksikan pengantin lelaki menyerahkan sebanyak 88 gram emas tulen dipercayai di dalam bentuk barangan perhiasan kepada isterinya sebagai mas kahwin.

Berdasarkan rakaman berdurasi 42 saat itu, dapat dilihat pengantin lelaki dikenali sebagai Aiman memakaikan barangan perhiasan iaitu cincin, gelang dan rantai emas kepada isteri yang baru dinikahinya iaitu Farisya.

Difahamkan, rakaman majlis yang diadakan pada 8 Ogos itu tular selepas dimuat naik oleh pengantin perempuan di akaun media sosial TikTok miliknya beberapa hari lalu dan meraih hampir setengah juta tontonan.

“8 Ogos 2025. Jumaat — permulaan kami untuk kekal (bersama) selama-lamanya,” tulis Farisya dengan ringkas di ruangan kapsyen hantaran video tersebut di akaun TikTok miliknya.

@sya.zwinn

8•8•25 💍 Friday – The beginning of our forever 🕊️ #weddingday #MasjidSendayan #fyp #fypage

♬ Penjaga Hati cover by Cinta – adriannalove

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih sebanyak 32,800 tanda suka dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya berkongsi rasa terkejut apabila mendengar jumlah mas kahwin dilafazkan pengantin lelaki.

Ramai juga individu mengakui mereka segera mencapai kalkulator untuk membuat pengiraan masing-masing berhubung jumlah perbelanjaan dikeluarkan pengantin lelaki bagi menyediakan mas kahwin tersebut.

“Dengar 88 gram terus terbeliak biji mata aku dan otak pula mula mengira (jumlah mas kahwin). Wow,” kata seorang pengguna mengakui terkejut ketika mendengar mas kahwin disebutkan pengantin lelaki ketika melihat rakaman tersebut.

“88 gram emas Kakak, terus saya buka kalkulator dan kira berapa jumlahnya. Semoga berbahagia dan berkekalan hingga ke Syurga. Amin.” Kongsi pengguna lain yang tidak lupa untuk mendoakan pengantin baharu itu.

Tinjauan di ruangan komen itu mendapati sebilangan besar pengguna membuat anggaran bahawa mas kahwin yang diterima oleh pengantin perempuan kemungkinan mencecah lebih RM40,000 tidak termasuk upah.

Baca juga: Enam tahun tiada tawaran, Salih Yaacob jual kereta, hidup dengan reviu produk