Peniaga rugi lebih RM45,000 diperdaya pegawai LHDN ‘palsu’

Oleh KIM SYAZIE

Bimbang dikenakan tindakan undang-undang kerana didakwa tidak menjelaskan tunggakan cukai syarikat, seorang peniaga kerugian RM45,400 ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditipu dua individu yang didakwa menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Menurutnya, pegawai LHDN palsu itu memaklumkan syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM54,978.

Mangsa bagaimanapun menafikan mempunyai tunggakan cukai itu dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai Sarjan Siva dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

“Suspek kemudian menghantar satu pautan yang telah dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan meminta mangsa menekan pautan MyBNM serta mengisi maklumat berkaitan termasuk akaun bank milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan akaun bank miliknya pada Selasa dan mendapati wang simpanan berjumlah RM45,400 lesap.

Mangsa seterusnya membuat semakan di sebuah bank di daerah Kuantan bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kehilangan wang dalam akaunnya.

“Hasil semakan daripada pegawai bank, wang itu telah dipindahkan ke satu nombor akaun bernama Ridzuan Ramdan.

“Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu selepas merasakan dirinya ditipu,” katanya.

Mohd Wazir memaklumkan, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bagi tujuan penipuan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menjelaskan, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa serta rangkaian sindiket Macau Scam terlibat.