Penjelasan Azam Baki bercanggah dengan bukti SC, peguam mahu kes dirujuk ke AG

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki masih perlu dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) kerana wujud percanggahan kenyataan antara Azam Baki dan dapatan inkuiri oleh Suruhanjaya Sekuriti berhubung isu pengendalian akaun saham.

Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh berkata, adalah lebih wajar sekiranya hasil inkuiri dirujuk ke AGC supaya peguam negara juga dapat mengesahkan perkara sama.

Azam sebelum ini berkata bahawa akaunnya digunakan oleh adiknya untuk membeli saham, bagaimanapun bukti SC mendapati bahawa Azam mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas akaun dagangannya itu.

Selain itu, Azam juga didapati telah mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan.

“SC mengetahui bahawa Azam mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangannya di mana ianya bercanggah dengan penjelasan Azam bahawa adiknya menggunakan akaun dagangannya pada masa itu.

“Ini sahaja sudah cukup untuk menimbulkan syak wasangka besar. Azam (perlu disiasat) sama ada beliau telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 25(4) SICDA.

“Adalah wajar dalam keadaan sedemikian, untuk SC merujuk dapatannya kepada AGC untuk dipertimbangkan kerana AGC lebih layak untuk menentukan sama ada kesalahan telah dilakukan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ramkarpal juga meminta SC menjelaskan adakah laporan FMT yang memetik ‘orang dalam’ SC merupakan pendirian suruhanjaya itu apabila orang dalam berkenaan menyatakan bahawa tiada keperluan merujuk kes Azam Baki kepada AGC.

Beliau menegaskan, SC tidak boleh melindungi kes ini dan jika benar penyiasatan menunjukkan Azam tidak melakukan kesalahan, maka sebaiknya perkara itu dirujuk kepada AGC untuk mengesahkan perkara yang sama.