Penyewa dari neraka! Sanggup tinggal rumah penuh sampah, bil tertunggak ribuan ringgit

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyewa bermasalah bukan sekadar gagal bayar sewa, malah meninggalkan kesan buruk kepada pemilik rumah terutamanya dengan keadaan kediaman ditinggalkan.

Lebih malang, ada yang sanggup menghilangkan diri, memutuskan semua hubungan dan membiarkan tuan rumah menanggung kerugian besar akibat perbuatan mereka.

Menerusi Facebook, seorang pemilik rumah Wawa Azmi mendedahkan pengalaman pahit berdepan dengan penyewa yang digelar sebagai ‘penyewa dari neraka’.

Menurut pengadu, rumah tersebut mula disewakan sekitar tahun 2022 setelah mereka sekeluarga berpindah ke Pulau Pinang dan semuanya lancar pada awalnya.

“Pada awalnya, bayaran sewa berjalan lancar, namun saya perasan setiap kali perlu saya hubungi melalui panggilan atau mesej barulah bayaran dibuat, jika tidak ia akan ditangguh dua ke tiga hari.

“Masuk sahaja tahun 2025, tragedi mula berlaku, bayaran semakin tertangguh, janji tidak ditepati, dari hari ke hari, kemudian menjadi minggu, sehinggalah berlarutan ke bulan.

“Kemuncaknya pada bulan Jun, apabila dia menyatakan mahu keluar dari rumah. Saya kata boleh, tetapi semua barang tidak dibenarkan dikeluarkan selagi tunggakan tidak dijelaskan.

“Pada ketika itu, tunggakan sewa sudah masuk 3 bulan, bil elektrik (TNB) mencecah RM3,800, manakala bil air lebih RM800,” kongsinya di Facebook.

Lebih mengejutkan, pasangan penyewa tersebut sebenarnya sudah bercerai dan membawa haluan masing-masing, meninggalkan beban tunggakan kepada tuan rumah.

Saat pemilik rumah kembali memeriksa, keadaan yang ditemui amat mengejutkan dinding berlubang dan dipenuhi contengan, pintu bilik air rosak, siling pecah, bilik air kotor, serta sampah sarap bertimbun di setiap sudut rumah.

“Bukan sahaja tertunggak sewa, malah kami pula terpaksa keluarkan duit poket untuk baiki kerosakan,” keluh pemilik rumah itu.

Pemilik mendakwa penyewa lelaki bekerja sebagai kontraktor manakala bekas isterinya bertugas di jabatan imigresen, dengan tiga orang anak.

Pendedahan ini dibuat bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih penyewa.

Malah, pemilik turut menyeru pihak berkuasa serta orang ramai agar tidak lagi memberikan peluang pekerjaan kepada individu terbabit selagi tunggakan dan kerugian tidak diganti.

“Kalau dia tidak tampil dalam masa 30 hari, siri pendedahan kedua akan menyusul,” katanya.

Baca juga: Pelancong asing teruja rasai “chill vibe” malam di Malaysia, lepak 3 pagi pun tak ada masalah