Penyusunan semula subsidi petrol bukan lagi pilihan, elak generasi depan terbeban

Oleh ARIF ATAN

Dasar penyusunan semula subsidi petrol terutama RON 95 mulai pertengahan tahun 2025 oleh kerajaan Madani sebenarnya bukan lagi pilihan.

Penyasaran subsidi petrol merupakan keperluan demi mengelak generasi akan datang terbeban dengan tekanan kewangan negara ditambah jumlah hutang kerajaan yang semakin melambung.

Amalan subsidi bahan api sebelum ini yang bersifat secara ‘blanket’ atau pukal dengan mencecah puluhan bilion ringgit sudah sekian lama lebih dikaut golongan berpendapatan tinggi atau T20.

Situasi tersebut sekaligus menyaksikan manfaat sebenar tujuan pelaksanaan subsidi tidak benar-benar sampai kepada golongan berpendapatan rendah.

Sebaliknya, penyasaran subsidi petrol RON95 boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi bahan api itu yang selama ini dinikmati warga asing dan golongan terlalu kaya.

Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana penjimatan hasil penyasaran subsidi RON95 dijamin akan kembali manfaatnya kepada rakyat.

Penyasaran RON95 lebih tertumpu kepada usaha kerajaan Madani untuk menghentikan penggunaan 40 peratus bahan api bersubsidi itu oleh golongan yang tidak berhak menerimanya.

Hasutan pembangkang yang memburukkan pelaksanaan penyasaran subsidi tidak relevan kerana 85 peratus rakyat terbanyak akan kekal menikmati harga subsidi RON95.

Hasil usaha pembetulan kerajaan Madani terhadap kepincangan amalan subsidi pukal yang dibolot kelompok elit dan warga asing akan disalurkan untuk membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini.

Hal tersebut turut diakui penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Menurutnya, kerajaan boleh mempertimbang untuk menyalurkan sebahagian subsidi bahan api untuk memperkasakan sistem pengangkutan.

Subsidi juga boleh disalurkan untuk memodenkan sistem rel untuk kargo dan membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) lebih agresif.

Jelas Dr Aimi Zulhazmi, inisiatif subsidi itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berasaskan bahan api fosil pada masa depan.

Sementara itu, bagi TikTokers Nazri Hamdan, kerajaan boleh sahaja meneruskan amalan pemberian subsidi secara pukal tetapi kesan jangka panjangnya akan terpalit pada generasi depan.

“Kita kena ingat jumlah subsidi yang kerajaan perlu tanggung adalah sekitar RM80 bilion dengan paling besar adalah subsidi petrol,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan mekanisme penyasaran subsidi RON95 akan menggunakan sepenuhnya data Pangkalan Data Utama (PADU).

Oleh sebab itu, rakyat perlu mengemas kini maklumat dalam sistem PADU bagi menikmati subsidi RON95 yang diberikan secara bersasar. 

baca: Bekas Presiden Amerika Syarikat meninggal dunia