Perkongsian dipercayai dibuat oleh bekas isteri kepada Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril susulan penceraiannya dengan bintang bola sepak negara itu telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform TikTok, wanita terbabit berkongsikan tujuh ujian hidup dialaminya pada tahun ini yang mana kebanyakkannya adalah berkaitan dengan masalah rumah tangganya bersama Faisal.
Ujian pertama dihadapinya adalah menerima lafaz cerai untuk kali kedua daripada Faisal yang dikatakan dibuat oleh pemain sayap Selangor FC terbabit pada tiga hari sebelum tarikh kelahirannya.
Nur Syazwani memaklumkan bahawa ujian yang dialami itu turut membuatkannya kehilangan diri sendiri susulan rumah tangga dibina selama hampir tujuh tahun berakhir begitu sahaja.
Wanita terbabit juga mengakui dicurangi sehingga timbul isu kepercayaan selepas janji-janji palsu dimungkiri sekali gus memberi bayangan bahawa kehadiran orang ketiga mungkin menjadi punca keruntuhan rumah tangganya.
“Ingat 2025 akan menjadi tahun saya. Tetapi Allah izinkan untuk terima lafaz cerai buat kali kedua, tiga hari sebelum tarikh lahir. Hubungan selama hampir tujuh tahun berakhir dan saya kehilangan diri sendiri.
“Diberi janji palsu, kena curang dan ada isu kepercayaan. Perkara terakhir yang lain itu biarlah saya simpan sendiri,” katanya dalam perkongsian yang kini sudah meraih sebanyak 340,000 tontonan di platform TikTok.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Klang pada Jumaat lalu mengesahkan bahawa dua lafaz cerai oleh Faisal Halim pada 11 Jun dan 10 November lalu sebagai sah dan telah menjatuhkan talak terhadap Nur Syazwani.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Muhammad Faisal Abdul Halim itu telah melafazkan cerai buat kali pertama pada lima bulan lalu namun pasangan berkenaan telah rujuk semula pada hari yang sama.
Manakala bagi lafaz cerai kedua pula, pihak mahkamah mengarahkan Nur Syazwani Mizuana Shahril selaku defendan untuk menjalani tempoh idah selama tiga kali suci sehingga 10 Januari hadapan.
Sebelum ini Nur Syazwani telah memfailkan permohonan cerai terhadap Faisal pada 2 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Untuk rekod, pemain kebangsaan berusia 27 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 lalu dan dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
Baca juga: Pemain bola sepak negara sah cerai talak dua