SPR mengumumkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM46 juta.
Ramai melihat PRN ini sebagai membazirkan wang rakyat untuk menyelesaikan pergaduhan dua kem dalam Umno.
Apapun tanggapan ramai, saya gembira dengan pengumuman SPR ini. Pertama, ia menunjukkan tidak ada campur tangan kerajaan pusat untuk menyekat PRN ini. Kedua, tidak ada darurat. Ketiga, ia menunjukkan proses demokrasi masih berjalan.
Betul juga pendapat sesetengah pemerhati yang menyatakan PRN tidak sesuai diadakan kerana Covid-19, risau pengalaman Sabah berulang, dan membazirkan duit yang boleh digunakan untuk keperluan lain.
Betul juga pendapat yang menyatakan sepatutnya gabenor memanggil terlebih dahulu PH untuk membentuk kerajaan kerana PH telah mempunyai majoriti setelah 4 ADUN keluar dari kerajaan.
Tetapi pembubaran telah dibuat. Oleh sebab itulah, SPR mengumumkan tarikh pilihan raya negeri akan diadakan.
Setelah pengumuman SPR ini, Pengerusi PH Melaka menyatakan akan ke mahkamah untuk menghalang PRN Melaka daripada diadakan. Ini bagi membuat semakan terhadap proses, prosedur dan fakta berkenaan pembubaran tersebut.
Katanya, kelewatan membuat saman ini adalah kerana warta pembubaran DUN hanya diserahkan kepada ADUN hari ini.
Perlukah tindakan PH ini?
Pada saya tidak perlu. Sudah terlambat. Alasan baharu terima warta pembubaran tidak relevan. Sepatutnya, setelah pengumuman DUN dibubarkan, mulakan terus proses undang-undang.
Jangan berpolitik lagi dengan isu PRN ini. Nasihat saya tidak perlu ke mahkamah kerana ia membuang masa, duit dan tenaga. Jika dari awal tidak mahu kerajaan Melaka jatuh, sepatutnya persetujui sahaja CSA dengan Umno apabila Datuk Rauf datang untuk berunding.
Bagi saya, PRN Melaka adalah ujian untuk semua parti. PRN ini juga masanya untuk rakyat menghukum ahli-ahli politik yang tidak berprestasi dan gila kuasa.
Siapa menang, masih terlalu awal untuk menilainya kerana banyak lagi yang akan berubah sehingga 20 November nanti.
Yang jelasnya peringatan untuk semua parti, pilihlah calon muda, segar, berkaliber dan yang ikhlas untuk berkhidmat sebagai calon parti masing-masing.