Pernah dilabel panas baran, tak sangka ini rupanya sikap sebenar Sharnaaz Ahmad

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita dipercayai rakan lama Sharnaaz Ahmad berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas mendedahkan sikap sebenar pelakon itu di media sosial.

Menerusi satu hantaran di Instastory, wanita yang dikenali sebagai Fararekiy Aziz itu mengakui mula bersahabat dengan Sharnaaz ketika sama-sama belajar di universiti.

Tampil mendedahkan sisi lain pelakon yang pernah dilabel panas baran itu, Fararekiy memaklumkan bahawa dirinya dahulu sering menerima bantuan daripada Sharnaaz.

“Notifikasi masuk. Ingat salah tag. Allahu, teringat zaman kami sama-sama susah. Sama-sama siapkan tugasan dan belajar sampai pagi setiap kali ada peperiksaan.

“Kita sentiasa sokong antara satu sama lain terutamanya dalam projek akhir walau berlainan kumpulan. Kalau tiada duit, dia akan belanja aku makan. Tiada kenderaan pergi kelas? Dia tumpangkan aku naik kereta.

“Definisi orang senang yang bantu orang susah macam aku dan seseorang yang tak memilih kawan,” cerita Fararekiy mengenai pengalamannya dibantu Sharnaaz ketika di universiti.

Tidak hanya terhenti di situ, pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu turut membantu Fararekiy dalam mendapatkan pekerjaan di sebuah bank tempatan.

Jelas wanita berkenaan, hantaran tersebut bukanlah dikongsi semata-mata kerana Sharnaaz seorang selebriti terkenal tetapi sahabat lamanya itu memang baik hati.

“Selepas graduasi, dia maki apabila mendapat tahu aku bekerja dengan gaji sedikit sampai kena bertugas syif malam. Kamu semua boleh bayangkan, dia maki macam mana.

“Dia paksa aku datang ke pejabatnya untuk ditemu duga oleh majikannya. Temu duga dalam 10 minit sahaja dan aku diterima kerja. Kemudian, bermulalah perubahan hidup sebagai pegawai bank.

“Aku bukan nak bercakap di sini sebab dia selebriti. Tetapi kerana dia kawan baik sejak 2003 sampai sekarang. Kita akan memasuki alam 40-an tak lama lagi Sharnaaz Ahmad,” kongsinya.

Dalam hantaran yang sama, Fararekiy turut berterima kasih kepada pelakon drama Suamiku Encik Sotong itu di atas segala bantuannya sebagai sahabat selama ini.

Hantaran tersebut dikongsi Fararekiy sebagai maklum balas kepada satu gambar ‘throwback’ yang dimuat naik oleh Sharnaaz menerusi akaun Instagram milik pelakon berkenaan.

Baca juga: Radin Era dedah pernah ada koleksi kasut sampai 800 pasang, hampir separuh dah dijual semula