‘Mandul’, itulah perkataan menyakitkan hati yang terpaksa didengar oleh seorang wanita kerana belum dikurniakan rezeki untuk memiliki zuriat sendiri.
Walaupun tuduhan tersebut sukar untuk diterima, pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun itu tetap bersabar menghadapi ujian Tuhan.
Malah, pasangan tersebut juga berbesar hati mengambil dua orang anak angkat sebagai penyeri hidup ketika usia perkahwinan mereka menganjak ke 10 tahun.
Sekian lama berdepan dengan pelbagai tomahan oleh orang sekeliling, pasangan dua sejoli itu akhirnya dikurniakan anak selepas 23 tahun berumah tangga.
Menyifatkannya sebagai hadiah yang sangat berharga, kejadian tersebut diceritakan semula oleh wanita yang dikenali sebagai Norehan Sulaiman.
Tidak menyangka bakal hamil di usia 41 tahun, Norehan percaya dia dan suami tidak mandul kerana telah menjalankan ujian kesuburan selepas dua tahun berkahwin.
Percaya bahawa mereka belum ada rezeki untuk menimang anak sendiri, orang sekeliling bagaimanapun gemar melemparkan pelbagai tuduhan termasuk mandul.
Namun, segala-galanya berubah apabila Norehan mula mengalami simptom seperti lesu, kurang selera makan dan kitaran haid yang tidak teratur.
Tergerak hati untuk membuat pemeriksaan air kencing menggunakan kit ujian kehamilan, Norehan bersyukur apabila keputusan menunjukkan ‘dua garis’.
Memetik laporan Sinar Harian, Norehan berjaya melahirkan anak lelaki pada 8 April lalu menerusi kaedah pembedahan ‘caesarean section’ atau C-sect.
“Saya dan suami tidak mandul kerana lepas dua tahun kahwin, kami berjumpa pakar dan pemeriksaan lanjut menunjukkan kami tidak mempunyai sebarang masalah.
“Namun pada masa itu kami belum ada rezeki nak timang anak sendiri. Macam-macam orang cakap, tuduh kami mandul.
“Tak sangka umur dah 41 tahun baru hamil dan sekarang umur anak baharu masuk empat bulan selepas saya bersalin 8 April lalu secara pembedahan,” katanya.
Norehan gembira apabila kedua anak lelaki dan perempuan angkatnya yang kini berusia 13 serta 14 tahun boleh menerima adik mereka dengan sangat baik.
“Saya dan suami sangat gembira kerana kedua-dua anak angkat sangat akrab dengan adik mereka, Aisy Mateen Mikhael Sohimy,” kongsinya.
Diharapkan perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada pasangan yang masih berusaha untuk mendapatkan zuriat mereka sendiri.
Baca juga: Minat Shah Rukh Khan punya pasal, wanita sanggup belikan sebidang tanah di Bulan