Sempena Hari Wanita Sedunia, kisah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjadi fokus akhbar Sinar Harian hari ini.
Bahkan, wajah Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu terpampang penuh satu halaman Sinar Premium dengan kapsyen, “Rina Dari Sisi: Anak, Kakak Sulung & Mak Long”.
Team Sinar Premium memberitahu perancangan untuk menerbitkan kisah mengenai Rina bermula sejak tahun lalu.
Walau bagaimanapun, hanya baru-baru ini mereka dapat bertemu Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) berkenaan di pejabatnya, Tingkat 38 di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya.
Antara yang dikongsikan ialah bagaimana Rina pernah menjual nasi ayam kepada pelajar semasa melanjutkan pengajian ijazah pertamanya di Universiti Northwood di Michigan, Amerika Syarikat (AS) demi mencari wang saku perbelanjaan selain membuat kerja sambilan.

Rina turut mengimbau kenangan seawal tujuh tahun yang sudah diajar hidup berdikari apabila bersendirian ke sekolah dengan menaiki pengangkutan awam atau bas sekolah seorang diri dari Jalan Gurney, Kuala Lumpur ke Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1, kira-kira 10 kilometer.
Sempena Hari Wanita Sedunia tahun ini juga, Rina yang merupakan anak sulung kepad enam adik-beradik itu memberitahu dia kini mahir memasak 50 jenis pasta.
“Jika ada masa terluang, saya suka memasak. Ibu mula mengajar saya memasak seawal umur lapan tahun dan masakan pertama yang saya masak adalah kari ikan,” dipetik Sinar Harian hari ini.
Dia yang mesra dipanggil Mak Long gemar meluangkan masa bukan sahaja kepada ibu tetapi anak-anak buah seramai lapan orang.
Dia juga hampir 20 tahun terlibat dalam politik dengan jawatan pertamanya dalam Puteri Umno sebagai Pengerusi Biro Kebajikan.
Mengenai kedudukannya sebagai menteri, Rina berkata, pihaknya memulakan program Wanita Bangkit untuk membantu kaum Hawa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk banjir yang melanda tahun lalu.