Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak telah membuat beberapa keputusan penting untuk memastikan parti komponennya mampu mengatasi sentimen-sentimen yang sengaja diwujudkan oleh parti lawan bagi meraih sokongan jangka pendek dari pengundi.
Ketua Koordinasi Komunikasi PH Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, sentimen keterlaluan terhadap isu perkauman dan agama perlu ditangani dengan bijak oleh pemimpin PH di semua peringkat.
Justeru katanya, mengambil kira perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan berlangsung, PH Perak bertekad memperkukuhkan hubungan antara parti dan bersikap inklusif dengan pihak luar.
“PH Perak telah mencermati sentimen-sentimen yang menghantui fikiran masyarakat demi membebaskan rakyat dari pasungan puaka itu.
“Di sebalik perbezaan yang ada antara parti-parti komponen PH, terdapat banyak titik persamaan yang lebih berdaya upaya boleh diketengahkan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.
Mesyuarat diadakan di pejabat PH Perak di Wisma AMANAH Perak, Ipoh dan dipengerusikan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Sementara itu Muhaimin berkata, mesyuarat juga telah menilai prestasi PH dalam PRN Melaka bagi mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baru terutama bagi menghadapi PRU-15 yang dijangka dibuat tahun depan.
“Persefahaman, muafakat dan koordinasi tersusun merupakan asas gerak kerja bersama. Perhubungan PH Perak yang konsisten merupakan satu pencapaian politik yang perlu dijana ke semua peringkat perhubungan,” katanya lagi.