PH perlu tubuh segera organisasi media yang strategik

Oleh BORHAN AHMAD

Isu pembentukan organisasi atau Jabatan Media Pakatan Harapan yang benar-benar berfungsi sudah lama disarankan oleh beberapa tokoh. Pasca PRN Melaka, wartawan berpengalaman dan penyokong PKR, Norman Radzuan menyarankan hal yang sama.

Setelah PH dijatuhkan melalui Langkah Shereton, dan pos-mortem dibuat, saranan untuk mewujudkan organisasi media PH yang lebih strategik semakin kuat.

Pemimpin dan penyokong PH rata-rata bekerja keras. Tetapi kita semua tahu, bekerja keras sahaja tidak cukup dalam politik.

Lihatlah imej kerajaan 22 bulan PH begitu buruk di mata orang Melayu yang termakan tohmahan tukang fitnah yang sebahagiannya telah dihukum oleh mahkamah.

Fitnah-fitnah seperti khadam DAP, Islam terancam dan Cina menjual hartanah Tabung Haji berlegar-legar di kalangan rakyat sedangkan pencapaian-pencapaian cemerlang pentadbiran negara bawah PH banyak pula tidak sampai ke rakyat massa.

Kita gagal menangkis fitnah dan bangkit berlawan dengan berkesan. Kita tidak pakejkan produk kita dan bawa naratif yang berkesan.

Memang ada banyak usaha secara terpisah oleh wira siber dan sukarelawan kita sana-sini, tetapi kita kurang usaha yang bersepadu yang lebih menyeluruh.

Reputasi dan imej kita amat buruk. Kita seperti tewas dengan wira siber Umno dan Pas yang membelasah kita sangat dahsyat sepanjang masa, 24/7.

Apakah terlalu sukar dan mahal untuk mewujudkan organisasi media PH?

Kita perlu bina misi dan organisasi media PH yang mantap. Perlu mencari bakat dan pengurus-pengurus fungsian (functional) untuk memimpin pelbagai subsektor media, menyusun atur para sukarelawan kalangan yang mahir dan separa mahir terutama anak muda yang mahu membantu PH.

Mereka perlu diberi posisi, tugas dan KPI media yang spesifik, dan dipantau dan diselaraskan.

Pada saya Pengarah-pengarah Komunikasi dan Penerangan dalam parti-parti PH, mesti menjadikan tanggungjawab ini sebagai yang utama.

Pengarah-pengarah komunikasi tentu mampu melakar naratif dan pelan komunikasi serta organisasi media PH yang baru, yang lebih strategik dan pragmatik.

Penggemblengan sukarelewan media terutama anak muda para penyokong PKR, DAP, AMANAH dan NGO-NGO pro PH dalam media ini amat kritikal.

Mungkin tidak semua petugas dan sukarelewan media mengharapkan upah dan bantuan dana untuk membuat kerja-kerja ini tetapi motivasi instrinsik berupa pengiktirafan dan penyelarasan ke atas kerja mereka demi visi perjuangan PH yang luhur.

Satu ceramah hanya didengar oleh berpuluh orang sahaja sekarang tetapi satu laporan media boleh didengar oleh puluhan malah ratusan ribu orang.

Ceramah, penerangan dan berdebat adalah penting tetapi ia adalah sebahagian daripada aktiviti media sahaja. Menghunus senjata dan menembak musuh hanyalah salah satu aktiviti dalam perang. Tetapi peperangan bukan menembak musuh sahaja, tetapi merancang, mereka struktur, menyusun tenaga kerja dan kemahiran, semuanyq termasuk aktiviti-aktiviti untuk sebuah peperangan.

Kita tidak boleh hanya bergantung misalnya kepada Media Oren walaupun diakui mereka bekerja cemerlang dan banyak berkorban.

Tetapi media PH dan AMANAH mesti dirancang dan digerakkan lebih meluas dan strategik.

Para sukarelawan media PH juga perlu mendapat gambaran tentang ‘big picture’ supaya sukarelewan dapat membawa mesej yang betul, untuk sasaran yang tepat.

Kita tidak berputus asa dengan keputusan PRN ini. Ia memberi kita banyak pengajaran. Jom bangkit untuk PRU15 dan Malaysia baharu yang lebih gemilang.

Moga Allah merahmati setiap usaha kita.

—————-
Penulis adalah pembaca Malaysia Dateline dan minat dengan peranan media dan politik.