Pilih jadi isteri kedua di usia 19 tahun, Marissa rupanya antara pelajar paling berjaya di Maahad Tahfiz As Sofa

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak kepada bekas pasangan selebriti, Norman Hakim dan Abby Abadi iaitu Marissa Dania Hakim masih menjadi topik perbincangan hangat di media sosial sehingga kini.

Mana tidaknya, orang ramai tidak menyangka remaja yang baru berusia 19 tahun itu membuat keputusan menikah tanpa pengetahuan keluarga di Songkhla, Thailand.

Benar jodoh itu ketentuan Tuhan, namun sebahagian besar pengguna media sosial berpendapat bahawa Marissa mempunyai banyak lagi masa untuk membuat pilihan.

Namun sayangnya, remaja yang dikenali ramai dengan wajah jelita itu memilih untuk bermadu dan menjadi isteri kedua kepada lelaki berusia 25 tahun iaitu Ahmad Aslam.

Berhubung kisahnya menjadi ‘perbicaraan’ ramai, latar belakang pendidikan Marissa Dania yang pernah menuntut di Maahad Tahfiz As Sofa itu kembali menjadi sorotan.

Ketika menuntut di pusat pengajian agama Islam yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan itu, Marissa pernah menerima Anugerah Hafalan Qasidah Burdah Al-Busiri.

Hal ini kerana, Marissa berjaya menjadi pelajar wanita pertama menamatkan hafalan Qasidah Burdah Al Busiri yang terkandung 160 bait dalam masa empat hari pada 2018.

Anak kedua kepada Norman dan Abby itu turut membanggakan ibu bapanya apabila berjaya menghafal enam juzuk al-Quran dalam tempoh setahun di Maahad tersebut.

Sekadar info, Qasidah Burdah adalah terjemahan kehidupan Nabi Muhammad SAW ke dalam bentuk bait-bait puisi kesusasteraan Arab yang ditulis oleh Imam Al-Busiri.

Terdahulu, kisah percintaan antara Marissa dan Aslam didedahkan pada September tahun lalu oleh isteri pertama lelaki berkenaan iaitu Misya menerusi laman aplikasi X.

Misya yang juga ibu kepada dua anak itu mendakwa, hubungan tersebut telah menyebabkan rumah tangganya hancur hingga bercerai sebelum rujuk semula dalam tempoh eddah.

Kemudian timbul pula dakwaan bahawa Aslam dan Marissa telah berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada Disember lalu ketika Misya menunaikan umrah.

Walau bagaimanapun sehingga kini, Marissa dan juga ibu bapanya masih belum membuat sebarang kenyataan sebagai maklum balas kepada isu yang masih hangat diperkatakan ini.

Baca juga: Gadis miliki ijazah pereka grafik kecewa syarikat di KL tawar gaji cuma RM1,600, “baik aku balik kampung macam ni”

Baca Artikel Penuh