Walaupun ramai memilih kerja di bandar dengan gaji tinggi, masih ada yang selesa untuk bekerja sendiri dan membuka perniagaan.
Begitulah jalan yang dipilih Ubai MZ selepas membuat keputusan untuk berhenti di sebuah syarikat bagi memberi tumpuan kepada perniagaan baju yang diusahkannya.
Memetik OhBulan!, suami kepada penyanyi Shila Amzah itu juga mahu menguruskan tanah miliknya yang terletak di Pahang.
“Saya baru berhenti kerja dan kini mahu fokus pada perniagaan dan nak uruskan tanah di Pahang.
“Perniagaan itu adalah perniagaan baju yang kini sedang giat saya lakukan.
“Kalau kebun itu pula, saya tanam durian jenis musang king, rambutan, cempedak. Insya-Allah seterusnya mahu tanam cili.
“Saiz kebun itu berukuran lebih kurang 3 hektar dan ada juga sebuah kabin di sana,” katanya seperti dipetik OhBulan!.
Namun Ubai tidak menolak jika ada tawaran berlakon buatnya atau jika dipanggil oleh stesen televisyen lain.
“Selain itu, saya masih lagi buat kerja sebagai talent untuk mana-mana program yang diundang. Cumanya sekarang tidak terikat lagi dengan mana-mana stesen TV,” tambahnya.
Ubai sebelum ini menerusi hantaran di Instagram memaklum dia sudah berhenti kerja di sebuah syarikat penyiaran selepas dua tahun bertugas.