PKR tuntut SPR lantik petugas yang lebih faham perjalanan pilihan raya

Oleh KIM SYAZIE

PKR menuntut agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melantik Ketua Tempat Mengundi (KTM) yang lebih berpengetahuan mengenai perjalanan pilihan raya untuk ditugaskan semasa hari mengundi 20 November ini.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat, Manivanan Gowin berkata, ini bagi mengelakkan insiden sama berulang di mana KTM yang mewakili SPR telah menghalang ejen mengira undi (PACA) yang mewakili calon Pakatan Harapan, dari memasuki kawasan mengundi.

Dalam enam tuntutan yang dikemukannya kepada SPR, beliau meminta agar individu tersebut tidak lagi ditugaskan dalam tempoh pilihan raya Sabtu ini.

“Kami memohon agar Pengarah SPR mengarahkan agar KTM yang melakukan kekhilafan nyata tersebut, untuk tidak bertugas pada 20 November ini dan digantikan dengan seorang KTM yang mempunyai pengetahuan mengenai perjalanan pilihan raya,” katanya.

Pada 16 November lalu, pengundian awal di DUN Lendu dilapor telah dicemari dengan insiden di mana ejen calon PH dihalang masuk oleh KTM biarpun telah menunjukkan dokumen dikehendaki

Menurut Calon DUN Lendu, Mohamad Asri Ibrahim, tindakan tidak membenarkan ejen calon memasuki tempat mengundi di Balai Polis Alor Gajah dan pengundian diteruskan tanpa ejen calon merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Difahamkan, KTM yang bertugas di DUN tersebut telah menghalang agen calon memasuki kawasan pengundian atas alasan borang agen terbabit tidak ditandatangani oleh calon sendiri tetapi ejen pilihan raya.

Mengikut peruntukan Akta 5, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, borang PACA boleh ditandatangani oleh calon atau ejen pilihan raya yang juga dikenali sebagai wakil calon.

Mengulas lanjut, dalam tuntutan kedua PKR kepada SPR, mereka memohon agar pegawai-pegawai SPR iaitu Pengurus Pilihan Raya (RO), Penolong Pengurus Pilihan Raya (ARO) dan khususnya Ketua-Ketua Tempat
Mengundi (KTM) untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka mengikut lunas undang-undang yang termaktub di bawah Akta Pilihan Raya dan Peraturan pilihan raya.

Tuntutan ketiga, mereka memohon agar Pengarah SPR memberi amaran keras kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) agar tidak mencipta peruntukan undang-undang sendiri yang melampaui kuasa Parlimen.

Tuntutan keempat, SPR digesa memberi taklimat akhir sebelum hari mengundi tentang pematuhan dan kefahaman undang-undang dan peraturan pilihan raya kepada semua RO, ARO dan KTM yang bertugas pada 20 November 2021.

“Tuntutan kelima: Kami memohon agar Pengarah SPR memaklumkan kepada semua RO, ARO dan KTM agar menghormati hak semua calon dan parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka di semua 28 DUN yang ditandingi.

“Tuntutan keenam: Kami memohon agar Pengarah SPR dan atau RO yang bertugas di Balai Polis Masjid Tanah untuk memohon maaf secara terbuka (kerana mohon maaf secara tertutup tidak memadai) kepada calon dan ejen pilihan raya Pakatan Harapan,” ujarnya.