PLUS keluarkan cadangan waktu perjalanan balik kampung Aidilfitri ini

Oleh NASUHA RAHMAN

PLUS mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar pada musim perayaan Aidilfitri bagi perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada 29 April hingga 9 Mei 2022.

Memandangkan ini adalah kali pertama selepas dua tahun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke kampung halaman untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari sahaja lagi.

TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

Ia direka berdasarkan pola perjalanan trafik daripada musim perayaan dan cuti panjang yang lalu sebagai panduan dan membantu pelanggan lebuh raya menikmati pengalaman perjalanan sebaik mungkin semasa tempoh musim perayaan akan datang, di mana lebih daripada 2 juta kenderaan dijangka melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Pengguna ke destinasi seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor, dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum jam 10:00 pagi.

PLUS menjangka kira-kira 2 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.6 juta kenderaan sehari yang menggunakan lebuh raya.

“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan dan ia mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda. Jadi, kami menggesa dan menasihatkan pelanggan lebuh raya untuk mematuhi jadual perjalanan TTA yang dikeluarkan bagi merancang perjalanan Balik Kampung dan Pulang Ke Bandar,” kata ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Baca Artikel Penuh