Malaysia berjaya memeterai kerjasama baharu dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan syarikat besar dari negara teluk itu untuk menjalin kerjasama ekonomi.
Hasil memberangsangkan ini berjaya dicapai dalam lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim UAE yang merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara untuk 2025.
Pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (MY-UAE CEPA) yang dijangka meningkatkan jumlah eksport negara kepada AS$13.5 bilion pada 20232.
Lawatan itu juga menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) kerjasama inisiatif AI.
“Alhamdulillah, lawatan saya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai matlamat untuk memperkukuh hubungan dua hala dan persahabatan Malaysia-UAE.
“Beberapa kerjasama baharu berjaya dimeterai termasuk perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan memperkasa inisiatif kecerdasan buatan (AI) di Malaysia,” kata Anwar di Facebook.
Dalam mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dengan Presien UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama politik; ekonomi dan pelaburan; pertahanan; tenaga boleh baharu dan nuklear; pelancongan; kemampanan; serta Kederdasan Buatan AI.
Dalam pertemuan dengan Presiden Republik Kenya pula, kedua-dua negara setuju mempertingkat hubungan ekonomi dan perdagangan terutama eksport sawit ke Afrika.
Anwar juga sempat bertemu Presiden Uganda, di mana hasil mesyuarat senada untuk melonjak sinergi di peringkat ekonomi, perniagaan, perdagangan dan pendidikan.
Walaupun kehadiran Anwar di UAE untuk menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025, beliau turut mengambil kesempatan untuk bertemu tiga pengurusan kanan syarikat utama dan dana kekayaan berdaulat negara itu iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala dan Masdar.
Hasil pertemuan tersebut, Masdar merancang untuk melabur di Malaysia secara usaha sama dengan syarikat tempatan bagi projek tenaga hijau, infrastruktur, bateri utama dan memperkukuh grid tenaga.
ADIA pula merancang untuk terlibat dalam penyusunan semula Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang melibatkan penguasaan Khazanah Nasional berdasarkan pengalaman dengan lapangan terbang utama seperti di Dubai, Abu Dhabi, Heathrow (London) dan Paris.

Baca juga: Penduduk Dungun ‘berpesta’ kerang, naik ke pesisir pantai lepas ombak besar – “Jalan jem!”