Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menjelaskan tentang video tular membabitkan sebuah ambulans yang diberhentikan pihak polis untuk memberi laluan kepada kenderaan rasmi perdana menteri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari’at berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi semalam, bertujuan mengelakkan risiko kemalangan.
Menurutnya, ia merupakan rombongan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam perjalanan bagi melihat sendiri kerja-kerja pembersihan mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat.
“Dalam keadaan yang ditunjukkan dalam video tersebut, sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan 4×4 dan ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, ianya tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya.
“Oleh yang demikian, konvoi yang berada di jalan utama telah diberikan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Menurut PDRM, sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan tersebut pada tempoh yang singkat, anggota trafik telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulans setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku.
“PDRM sentiasa peka dan komited dalam memberi keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulan dan bomba,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan konvoi VIP tersebut menerima kecaman orang ramai kerana tidak memberi laluan kepada ambulans milik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebaliknya diarahkan berhenti kerana mahu memberi laluan.