Kawasan pesisir daerah di Dungun menjadi tumpuan orang ramai baru-baru ini selepas fenomena kerang naik ke darat di mana lokasi tersebut dibanjiri oleh penduduk sekitar bagi mengutip hidupan laut berkenaan.
Aktiviti mengutip kerang di sepanjang pesisir pantai itu bagaimanapun perlu dihentikan ekoran pihak polis telah meminta penduduk berbuat sedemikian untuk mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, arahan tersebut dikeluarkan berikutan keadaan ombak besar dan angin kencing yang sedang melanda negeri berkenaan ketika ini.
Jelasnya, kawasan pesisir pantai di daerah Dungun kini berada dalam situasi berisiko tinggi ekoran dilanda angin kencang berkelajuan kira-kira 60 kilometer per jam (km/j) disertai dengan ombak setinggi 4.4 meter.
Oleh yang demikian, arahan pihak polis untuk penduduk berhenti melakukan aktiviti mengutip kerang di kawasan tersebut telah berkuat kuasa dengan serta merta, lapor Harian Metro.
“Perubahan cuaca yang tidak menentu juga boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai dan pihak polis mengeluarkan arahan ini berkuat kuasa dengan serta merta.
“Kita memandang serius perkara ini dan arahan memberhentikan aktiviti mengutip kerang bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan memetik laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Maizura menerusi kenyataan yang sama turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa akan terus menjalankan pemantauan dan berharap supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai.
Sekiranya gagal berbuat sedemikian, mana-mana individu yang didapati tidak mengendahkan arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa ini akan dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, tular beberapa rakaman di pelbagai platform media sosial memaparkan kawasan pesisir Pantai Sura di Dungun, Terengganu dibanjiri dengan penduduk berhampiran untuk mengutip kerang yang terdampar itu.
Orang ramai yang mengambil peluang merasai fenomena kerang naik ke darat itu membawa pelbagai jenis alatan termasuklah baldi dan pukat ikan untuk mengumpul hidupan laut tersebut.
Situasi itu bukan hanya menyebabkan jalan menuju ke lokasi tersebut begitu sesak namun turut menimbulkan kerisauan berhubung keselamatan pengunjung ekoran ombak yang membadai pantai tersebut masih lagi besar.
Baca juga: Penduduk Dungun ‘berpesta’ kerang, naik ke pesisir pantai lepas ombak besar – “Jalan jem!”