Polis tahan bapa dan anak disyaki bunuh pemandu e-hailing, rampas rotan buluh serta playar

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang bapa dan anaknya dilaporkan ditahan oleh pihak polis selepas disyaki membunuh pemandu e-hailing di rumah mereka di Taman Pandan Perdana, Ampang pada 22 Jun lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada hutang dan mangsa yang merupakan rakan kepada salah seorang suspek terbabit dikatakan berhutang mencecah ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail memaklumkan pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan jam 7.16 malam hari kejadian.

Difahamkan, kejadian itu pada mulanya disiasat sebagai kes mati mengejut (SDR) sebelum diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ekoran terdapat unsur jenayah, lapor Berita Harian.

“Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dipanggil ke rumah suspek memaklumkan kematian seorang lelaki tempatan di Taman Pandan Perdana di sini.

“Polis segera ke lokasi kejadian dan pada peringkat awal, kes disiasat sebagai ‘sudden death report‘ (SDR) sebelum bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat unsur jenayah.

“Siasatan lanjut kemudian mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelas Mohd Azam dalam satu kenyataan berhubung kejadian tersebut memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Azam menjelaskan bahawa punca kematian mangsa adalah jangkitan kuman kepada otot yang disebabkan oleh kecederaan dialami pada kulit dan tulang.

Pihak polis kemudian menahan dua suspek yang berusia 36 dan 73 tahun itu pada 26 Jun lalu untuk membantu siasatan selain merampas sebatang rotan buluh dan satu playar boleh laras disyaki digunakan dalam kejadian.

Mohd Azam turut memberitahu bahawa mangsa adalah rakan kepada suspek yang berusia 36 tahun dan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah selain tiada rekod lampau.

“Suspek pertama direman 14 hari bermula 27 Jun hingga 10 Julai ini manakala suspek kedua pula direman 13 hari bermula 29 Jun hingga 11 Julai.” Katanya dalam kenyataan tersebut.

Baca juga: Ingatkan kena saman, Bell Ngasri terkejut didatangi warden parking di luar negara