Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Puchong Indah hari ini kembali dibuka bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han.
Menurutnya, vaksin Pfizer-BioNTech akan dibekalkan kepada pelajar sekolah dalam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana, yang berumur antara 12 dan 17 tahun.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor itu memberitahu sebanyak 25 sekolah dijangka akan terlibat dalam program yang berlangsung di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong Indah itu.
Katanya, program vaksinasi tersebut merangkumi pelajar sekolah di dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Program ini akan berlangsung selama enam minggu sehingga 18 November 2021, dengan sasaran sekitar 1,000 hingga 1,500 pelajar akan disuntik setiap hari.
“PICK remaja di PPV Puchong Indah ini adalah usahasama pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, PPD Petaling Perdana, MBSJ serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara.
“Pihak MBSJ telah bersetuju untuk menaja penggunaan dewan serbaguna ini,” kata Ng Sze Han di dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa ini hanya membenarkan pengambilan vaksin secara janji temu di PPV Puchong Indah.
“Janji temu akan diuruskan pihak sekolah masing-masing. Oleh itu, pelajar perlu berurusan dengan pihak sekolah untuk menyertai program ini.
“Saya ingin meningatkan bahawa tiada penerima secara walk-in dibenarkan,” tambahnya.
Pada masa akan datang, Ng Sze Han berharap PPV Puchong Indah akan dibenarkan untuk menerima kehadiran secara walk-in.
Beliau menjelaskan ini adalah bagi memastikan pemberian pelalian vaksin Covid-19 dapat diberikan dengan lebih meluas, termasuk kepada remaja yang mengikuti pembelajaran di rumah (home schooling), atau yang mereka yang telah berhenti dari sekolah.
Selain itu, Ng Sze Han berkata penerima vaksin Pfizer-Biontech yang telah terlepas janji temu vaksin mereka untuk dos kedua boleh hadir secara walk-in di PPV Puchong Indah pada jam 3.30 hingga 4.30 petang, dari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh PPV ini beroperasi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada PKD Petaling dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang telah mempertimbangkan penubuhan PPV Puchong Indah ini.
“Ia telah memberi manfaat kepada lebih 26,000 penerima vaksin yang telah menerima dos lengkap di pusat ini semasa program PICK yang lalu.
“Terima kasih juga kepada pihak MBSJ kerana sudi menaja kemudahan tempat untuk program kali ini,” kata Ng Sze Han.
Sehubungan itu, beliau berharap program PICK Remaja di PPV Puchong Indah dapat memudahkan penduduk Puchong, khususnya ibu bapa yang tidak perlu menghantar anak-anak mereka jauh ke PPV di luar kawasan kediaman mereka.
“Semoga usaha ini akan menjayakan usaha bersama kita dalam membendung penularan wabak Covid-19,” tambahnya lagi.
