PRN Johor: Mesyuarat khas SPR 9 Februari

Oleh ARIF ATAN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari depan bagi perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi kenyataan hari ini, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh itu antara lain membincangkan tarikh bagi writ pilihan raya dan daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagi PRN tersebut.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu,” katanya.

Menurutnya, SPR secara rasmi sudah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 semalam, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Johor, Undang-Undnag Tubuh Kerajaan 1895.

Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada hari sama, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.