Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan PN akan merangka strategi sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Umno menyatakan keenganan untuk bekerjasama.
“Jika dia (UMNO) tidak mahu bekerjasama, maka sebagai Setiausaha Agung PN, kami akan melakukan mengikut strategi PN sendiri.
“Beliau (UMNO) tidak mahu untuk duduk (bersama PN), saya pulangkan perkara itu kepada pemimpin-pemimpin PN untuk duduk berbincang bagi menentukan masa depan rakyat terutamanya rakyat Melaka sendiri,” katanya dilaporkan Utusan.
Katanya, tindakan Umni yang tidak mahu bekerjasama dengan PN termasuk Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dalam PRN Melaka hanya akan memecah belahkan rakyat.
Menurutnya, sekarang adalah masanya untuk rakyat menentukan masa depan kedudukan seorang pemimpin yang enggan bekerjasama dengan parti bangsa sendiri.
“Kalau seorang Presiden menganggap dirinya seorang pemimpin besar yang tidak mahu bekerjasama dengan bangsa sendiri, parti yang memperjuangkan nasib rakyat, maka terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan masa depannya.
“Yang penting PN bersedia hadapi untuk memilih pemimpin yang penuh berintegriti,” katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.