PRN Melaka: Menteri tidak jamin kenaikan mendadak kes Covid-19 berulang

Oleh ARIF ATAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak dapat memberi jaminan kenaikan mendadak kes Covid-19, tidak akan berulang lagi seperti yang berlaku dalam PRN Sabah tahun lalu.

Menurutnya, biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan SOP berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tapi ia tidak akan berguna jika tidak dipatuhi rakyat, serta parti politik dan aktivis politik.

“Saya bercakap bagi pihak MKN, KKM dan SPR. Di sini ada dua agensi atau kumpulan berbeza. Satu, SPR nak vibrancy democratic pratice, nak benarkan proses pemilihan, asalkan berpandu kepada KKM dan MKN.

“Jadi, undang-undang yang dilaksanakan di satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain. Saya tak boleh beri jaminan… kerana apa yang berlaku di Sabah, kita buat SOP juga, tetapi rakyat, orang kempen, orang parti yang buat (tidak patuh SOP),” katanya lagi.

Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) yang gusar menteri akan menyalah guna program rasmi untuk berkempen di Melaka, memandangkan majlis kerajaan dibenarkan dalam SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.