PRN Melaka: PH Johor gembleng tenaga petugas parti menangkan calon

Oleh ARIF ATAN

Pakatan Harapan Johor bermesyuarat di pejabat AMANAH negeri.

Pakatan Harapan (PH) Johor membuat ketetapan untuk menggembleng sepenuhnya tenaga seluruh petugas parti bagi membantu kemenangan calon-calon blok itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi kenyataan bersama pemimpin AMANAH, PKR dan DAP hari ini, PH Johor berpendapat bahawa kestabilan politik dalam mentadbir negeri ketika rakyat sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi menjadi
keutamaan berbanding perkara lain.

“Pun begitu, nasi telah menjadi bubur. Pertelagahan dalaman Umno telah mengakibatkan DUN terbubar pada 4 Oktober lalu.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh pembuangan undi bagi PRN Melaka pada 20 November 2021,” kata PH Johor lagi.

Untuk rekod, SPR menetapkan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

PRN Melaka dianggarkan menelan belanja sebanyak RM46 juta dengan menyaksikan seramai 495,196 pemilih bakal membuang undi.