PRN Melaka, Sarawak: SPR tidak boleh kenakan larangan menyeluruh untuk berkempen

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan perlu memastikan peraturan kempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak dilakukan secara adil dengan menyeimbangkan usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan secara bebas, dan bersih.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, tidak ada sebab untuk Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan larangan menyeluruh terhadap proses kempen secara fizikal.

“SPR tidak boleh mengambil tindakan melampau dengan melaksanakan larangan menyeluruh kepada proses berkempen dan membenarkan sebuah pilihan raya yang tidak telus dan adil untuk berlangsung.

“Perkara ini bertentangan dengan tema “hidup bersama Covid-19” dalam peralihan kepada fasa endemik yang membawa kepada pembukaan semula ekonomi untuk menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lim, menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan kadar keluar mengundi adalah tertinggi dalam PRN Melaka dan Sarawak.

Justeru katanya, SPR tidak boleh menjadi lebih ‘KKM’ berbanding dengan Kementerian Kesihatan sendiri.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi perlu memanggil SPR untuk menjelaskan bagaimana keseimbangan dapat dicapai oleh badan tersebut dalam memastikan terdapatnya pilihan raya yang adil di Melaka dan Sarawak, dan pada masa yang sama mengekang penularan wabak Covid-19

“Janganlah kita mengikuti langkah seperti di Jordan, di mana hanya 29 peratus pengundi keluar mengundi, atau seperti mana di Algeria di mana hanya 30 peratus pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya Parlimen mereka,” ujarnya.