Demikianlah kesimpulan awal yang boleh dibuat mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung dengan penamaan calon pada 8 November ini dan pengundian pada 20 November.
Disfungsi adalah terjemahan langsung (literal) bagi istilah bahasa Inggeris “dysfunctional” yang bererti tidak beroperasi seperti biasa atau dengan sempurna.
Pertama, PRN ini dipaksakan oleh penarikan balik sokongan dua orang Adun Umno dengan bantuan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun Babas kepada Ketua Menteri Umno, Sulaiman Md Ali.
Kedua, Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang berkongsi kuasa di Putrajaya akan berlawan satu sama lain. PN adalah gabungan Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan Gerakan.
Bersatu bukan saja “kena main” dengan Umno malah dihina secara terbuka. Kesemua enam Ketua Umno Bahagian di negeri itu menyatakan pendirian tegas menolak kerjasama dengan Bersatu.
Senapang gajah Umno/BN dalam PRN ini adalah seorang yang tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan atau kepemimpinan tertinggi Umno iaitu bekas Presiden Umno merangkap bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.
Yang semasa (current) mengenai beliau adalah gelaran “convicted felon” atau penjenayah terhukum yang diberikan oleh Bernama dalam laporan 3 Ogos 2020 lalu. Najib sedang merayu kesabitan kes SRR International kepada Mahkamah Rayuan.
Beliau juga sedang dibicarakan atas kes 1MDB yang melibatkan RM2.3 bilion. Secara tidak langsung sejarah dicipta di mana seorang penjenayah terhukum mengetui sebuah parti politik dalam pilihan raya.
Nampak seolah-olah beliau menjadi wakil kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mendapat “cuti” mahkamah bagi menjalani rawatan sakit tulang belakang di Jerman.
Ahmad Zahid sedang dibicarakan di atas 47 kes iaitu 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah dan 27 penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Jelas, Ahmad Zahid dan Umno lebih percaya kepada Mohd Najib daripada Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan mana-mana Naib Presiden termasuk Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob. Boleh jadi ini adalah kerana dia dan Mohd Najib berkongsi situasi yang sama.
Pas yang bertanding 24 kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kalah semua, tiba-tiba naik tocang dengan mencadangkan supaya Umno/BN dan PN bertanding PRN Melaka menggunakan lambang Pas atas alasan kedua-dua pihak mahukan sokongan parti itu.
Namun, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat Pas pada 1 November, keputusan diambil yang parti itu akan menggunakan lambang PN. Penyokong fanatik Pas pasti hampa tidak dapat memangkah lambang bulan.
Pakatan Harapan (PH) pula bertelagah sama ada menerima atau tidak empat bekas Adun yang menjatuhkan kerajaan Umno Melaka itu setelah menafikan sebarang keterlibatan dengan tindakan mereka.
Kalau PH menerima mereka, maka tidaklah ada beza di antara PH dengan PN yang menjatuhkan kerajaan PH di Putrajaya.
Buruk atau baik itulah pilihan yang terpaksa dihadapi oleh pemilih negeri Melaka akibat pemainan politik dan kegilaan kuasa oleh ahli politik negeri mereka.
*DATUK A KADIR JASIN merupakan Tokoh Wartawan Negara.