Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak hanya diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Perintah Darurat (EO) di negeri ini tamat.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum membentangkan sebarang kaedah mahupun garis panduan bagi melaksanakan PRN12 dalam masa terdekat ini.
“Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan PRN12 diadakan hanya boleh dilakukan selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Perintah Darurat di negeri ini tamat.
“Jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong. Pembubaran DUN, penetapan dan pembatalan darurat, itu semua kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi janganlah kita mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kita tunggulah,” katanya pada sidang media di Kuching, hari ini.
Perintah Darurat dikuatkuasakan di Sarawak adalah bagi membendung penularan Covid-19 sejurus selepas ia ditamatkan di seluruh negara pada 1 Ogos lalu selepas merekodkan peningkatan kes di negeri ini.
Sehubungan itu itu, pilihan raya tidak boleh diadakan walaupun tempoh DUN tamat Jun lalu sekali gus Proklamasi Darurat diisytiharkan sehingga 2 Febuari tahun depan.