Kerajaan Selangor menjangkakan 10,000 remaja akan menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja yang bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat semalam pendaftaran remaja adalah sekitar 3,000 orang yang terdiri dari pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Rendah Agama Islam Integrasi (SRAI) dan Maahad Tahfiz di negeri ini.
Program itu katanya, inisiatif kerajaan negeri untuk mempercepatkan vaksinasi remaja dan membantu melancarkan proses pembukaan institusi pendidikan di Selangor.
“SelVAX remaja berperanan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan mempercepat kelompok yang agak lewat penerimaan vaksin.
“Mereka mungkin dalam kalangan yang tercicir dari Maahad Tahfiz. Jadi tumpuan diberikan kepada mereka yang belajar, dan mereka yang tak bersekolah serta tak sambung pendidikan. Ini adalah kelompok yang kita boleh capai dalam SelVAX remaja.
“Setakat semalam ada 3,000 (pendaftaran) tapi kehadiran hari ini memberangsangkan. Dalam kiraan awal, minimum dijangka 10,000 (kehadiran). Dengan respon begini, boleh ada lebih lagi,” katanya dalam sidang media sejurus merasmikan pelancaran SelVAX Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Klang (MPK) Pandamaran Jaya, Klang.
Sementara itu beliau memaklumkan, program ini dilaksanakan bagi mereka yang sukarela mahu mendapatkan suntikan vaksin dan kelompok remaja yang tercicir kerana mungkin tidak lagi menyambung persekolahan.