‘Protes Selamatkan SPRM’: 4 pemimpin AMK dipanggil polis

Oleh KIM SYAZIE

Empat pemimpin tertinggi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya esok susulan konvoi protes yang diadakan sayap pemuda PKR itu bagi mendesak peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, antara yang dipanggil termasuklah dirinya, Naib Ketua AMK, S. Thiban, Setiausaha AMK, Syukri Razab dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Akmal memberitahu pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang proses siasatan dijalankan esok.

“Bagaimanapun, intimidasi terhadap pemberi maklumat mahupun kumpulan pendesak perlu dihentikan segera. Azam Baki perlu dicutikan agar siasatan rapi dapat dijalankan.

“Malang apabila kerajaan terutamanya perdana menteri dilihat masih pasif dan tidak menghiraukan gesaan orang ramai agar ‘darurat integriti’ ini segera dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam, AMK menggerakkan konvoi ‘Protes Selamatkan SPRM’ dengan disertai 50 buah kenderaan ke bangunan SPRM Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mendesak pengunduran Azam Baki.

Dalam protes berkenaan, Akmal menyifatkan telah berlaku satu darurat integriti yang tidak boleh dipandang ringan.

Setakat 7 Januari lalu, AMK telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, diikuti dengan laporan polis di setiap negeri bagi menggesa siasatan dijalankan.

Sementara itu, Akmal dalam kenyataannya hari ini menegaskan, akan meneruskan desakan sehingga krisis integriti ditangani dengan lebih serius oleh pihak kerajaan .

Justeru katanya, AMK akan menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ di hadapan bangunan Parlimen ketika persidangan khas Parlimen pada 20 Januari depan.