PRU-15: Pemuda AMANAH tekad tawan Putrajaya

Oleh ARIF ATAN

Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan menuntut satu kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketuanya, Asmaalif Abdul Adam berkata, PKR dan DAP telah menyediakan ruang yang luas kepada anak muda dengan Fahmi Fadzil, Nik Nazmi dan Hannah Yeoh telah diangkat menjadi Ahli Parlimen.

“Pemuda AMANAH Wilayah telah memilih Putrajaya sebagai kawasan fokus. Hal ini sebagai medan untuk Pemuda menunjukkan komitmen menerobos kawasan tunggal yang masih dipertahankan oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

“Dengan penyandang yang telah tiga penggal selesa di Putrajaya, kami akan terus menggasak sehingga Putrajaya mampu ditawan oleh Pakatan Harapan (PH), kalau pun bukan PRU-15, Insya-Allah pada PRU-16,” ujarnya.

Asmaalif berkata demikian dalam ucapan dasar Konvensyen Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan secara dalam talian hari ini.

Untuk rekod, Parlimen Putrajaya yang merupakan kerusi tradisi milik Umno-BN disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dikenali sebagai Ku Nan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dianggap sebagai “ibu kepada semua pilihan raya”, PH melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meletakkan ahli akademik Datuk Dr Samsu Adabi Mamat sebagai calon di Parlimen Putrajaya.

Walau bagaimanapun, Samsu hanya mendapat 8,776 undi manakala calon Pas, Zainal Abidin Kidam memperoleh 3,634 undi berbanding Ku Nan mengaut 12,148 undi.

Asmaalif selanjutnya menambah bilangan pengundi muda adalah sangat tinggi di Putrajaya dengan lebih 60 peratus pengundi berusia 21 hingga 40 tahun.

“Ini belum lagi pertambahan jika Undi 18 terlaksana kerana pertambahannya secara automatik adalah sebanyak 24 peratus iaitu seramai 8,794 pengundi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda AMANAH menuntut diberikan ruang untuk bertanding di salah satu Parlimen dalam Wilayah Persekutuan.