Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyangkal dakwaan bahawa mereka akan menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Presidennya, Datuk Sri Wong Soon Koh berkata, PSB dan GPS adalah dua entiti yang mempunyai hala tuju berbeza dan adalah mustahil untuk membentuk sebuah gabungan bagi membentuk kerajaan negeri.
“Saya mahu menjelaskan bahawa seperti yang diisytiharkan dalam manifesto PSB, kami ingin menggantikan GPS dan membentuk kerajaan Sarawak yang seterusnya.
“Dan kami adalah parti pembangkang terbesar di Sarawak dan untuk PRN12, malah berhasrat memenangi kerusi yang mencukupi bagi menggantikan GPS.
“GPS atau sebelum ini Barisan Nasional (BN), telah mentadbir Sarawak sejak 58 tahun lalu dan ternyata kami tidak berpuas hati dengan perkara yang berlaku,” ujarnya dalam satu sidang media di Sibu semalam.
Justeru, Soon Koh memohon mandat daripada rakyat bagi membentuk kerajaan sdan bukannya menyertai GPS) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
“Semasa melawat kawasan Paradom kelmarin, sayadiberitahu oleh orang ramai yang mendengar PSB akan bergabung dengan GPS selepas PRN12 untuk membentuk kerajaan campuran.
“Kini saya jelaskan bahawa kita mahu menggantikan GPS bagi membentuk kerajaan sekali gus membawa keadilan dan kemajuan yang lebih besar untuk semua rakyat di negeri ini,” tegasnya.
Ini ditambah lagi, ujar beliau bahawa GPS dan PSB pada asasnya adalah berbeza lebih-lebih lagi dengan manifesto yang dikeluarkan oleh pasrti masing-masing.
“Manifesto GPS adalah lebih kepada projek mega yang tidak realistik, yang boleh dilaksanakan kemudian serta tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat.
“Namun bagi PSB kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat harus diutamakan khususnya selepas pandemik Covid-19,” tambahnya lagi.