Seorang lelaki tidak pernah menyangka, isteri yang begitu disayanginya selama ini telah beralih arah kepada orang lain selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Berusaha pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat, lelaki dikenali sebagai Ashraff itu rela mencari anak angkat agar dapat menghiburkan hati wanita yang dicintainya itu.
Nekad mahu menyelamatkan rumah tangganya, berikut perkongsian Ashraff yang masih tidak mampu melupakan pujaan hatinya selepas lapan tahun mereka berpisah.
“Nama aku Ashraff. Umur 35 tahun, pernah berkahwin lapan tahun lalu. Bekas isteri, aku namakan dia Bunga. Kami sama-sama belajar dekat kat Politeknik. Selepas dia habis belajar, aku tak sabar nak kahwin. Bertunang empat bulan dan terus bernikah. Umur lebih kurang 23 tahun ketika menjadi suami orang. Muda-muda sudah kahwin.
“Di awal perkahwinan, memang susah. Ketika itu pula, baru mula bekerja. Aku baik-baik sahaja asalkan isteri gembira. Aku buat dua jenis kerja. Siang kerja kilang, waktu pejabat. Malam pula tolong jiran jual burger. Aku cuma mampu menyewa bilik sahaja ketika itu. Selepas kahwin enam bulan barulah aku mampu untuk menyewa rumah.
“Alhamdulillah, Bunga pun kerja. Aku akan hantar isteri pergi dan balik kerja sebab ada satu motosikal sahaja. Enam bulan kemudian, aku belikan Bunga satu motosikal. Setahun kemudian, aku beli kereta. Tak lama dapat belikan untuk dia pula. Akhirnya kehidupan menjadi selesa. Cuma Allah belum kurniakan rezeki anak dekat kami.
“Tetapi aku gembira sahaja, janji Bunga sentiasa ada di sisi. Kalau ada duit lebih, aku bawa Bunga jalan-jalan makan angin di luar negara. Setiap hari aku tak sabarlah nak balik kerja. Sebab aku nak kongsi semuanya dengan Bunga. Aku sayang dia sangat-sangat. Aku rajin muat naik gambar isteri ketika baru buat akaun Instagram dahulu.
“Romantikkan? Tetapi sebab jiwa kami muda lagi, jadi kerap sangat bergaduh. Tetapi tak lama, sebab aku sunyi tanpa isteri. Bunga ini sejenis baran juga, ego pun adalah. Tetapi sebab aku sudah lama berkawan dengan dia, jadi faham sangatlah. Selepas lima tahun berkahwin, kami belum ada rezeki anak. Macam-macam juga usahanya.
“Tetapi sayangnya, masih belum berhasil. Isteri macam itu sahaja. Aku pulalah yang melebih-lebih. Tetapi sebab ingatkan perkara itu normal, aku tak sedar rupanya dia sudah ada orang lain. Tiada pergaduhan besar. Cuma selepas kantoi, Bunga mohon aku lepaskan dia. Sudah tentulah aku masih usaha nak baiki hubungan kami.
“Sembilan bulan juga aku betul-betul usaha perbaiki. Kami solat berjemaah, berjalan bersama dan cuba cari anak angkat supaya isteri gembira. Namun pengakhirannya hanyalah sia-sia. Bunga tetap nak berpisah. Dia layan aku baik-baik sahaja. Tetapi aku tak tahulah, dia tetap minta aku lepaskan secara baik baik. Memang aku sedih.
“Terduduk menangis ketika aku lepaskan isteri. Allah sahaja tahu sakit yang aku rasa ini. Selepas kejadian itu, Bunga sendiri nak keluar dari rumah. Dia hanya ambil kereta sahaja. Itu pun selepas aku paksa. Risau kalau dia tiada kenderaan nak pergi mana-mana. Aku pula macam dalam iddah sebab hanya berkurung selepas kami berpisah.
“Aku duduk rumah, menangis dah murung kerana rindukan bekas isteri. Aku berhenti kerja tak lama kemudian sebab tak mampu jalankan tugas. Dia tak cari aku langsung selepas berpisah. Aku cuba hubungi dia, namun langsung tak dilayan. Tuhan sahaja yang tahu aku rindu Bunga sangat-sangat. Aku berhenti kerja dan pindah rumah.
“Aku juga keluar daripada negeri yang kami duduki dahulu. Selepas 11 bulan bercerai, bekas isteri menikah dengan lelaki itu. Aku tak dijemput. Tetapi aku naik kereta kakak dan lalu di depan rumah mak mentua. Walau hanya nampak khemah sahaja, tetapi aku terasa sakit itu. Kawan-kawan kami selalu beritahu pasal Bunga kepada aku.
“Aku hanya sekadar tahu sahaja, taklah beria korek pun mengenai bekas isteri. Pada 30 Mei lalu, genap lapan tahun aku dengan Bunga berpisah. Tetapi rasa sayang aku terhadap dia kekal sama. Masih rindu yang sama. Padahal dia sudah bahagia. Bekas isteri aku sudah memiliki bayinya sendiri. Hanya Allah menjadi tempat aku mengadu.
“Sakit dan rindu yang aku tanggung selama ini, hanya Dia sahaja tahu. Bukanlah aku tak cuba lupakan. Pernahlah kenal dengan orang lain, siap nak bertunang. Tetapi aku yang tak boleh. Hati aku cuma ada bekas isteri. Aku tak mampu nak tipu diri sendiri. Aku mengaji, solat, belajar agama dan menyertai pelbagai majlis-majlis ilmu.
“Semuanya aku lakukan untuk mengubati hati ini. Tetapi rasanya tetaplah sama juga. Semoga suatu hari nanti Allah gantikan hati aku yang sudah mati ini.” Kongsi Ashraff (bukan nama sebenar) menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di sebuah forum atas talian popular.
Baca juga: Rupanya kedai tak boleh halang pelanggan beli minyak masak paket sahaja, ini penjelasan KPDN Perak