Pukul 9 pagi kaunter masih tutup, individu kesal dengan pengurusan Air Kelantan

Oleh KIM SYAZIE

Satu pendedahan mengenai kepincangan pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah tular di media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, seorang lelaki mendakwa kunjungannya ke pejabat AKSB pada pukul 9.13 pagi hanya disambut dengan kaunter kosong.

Situasi tersebut membuatkan lelaki itu mengerti mengapa segala panggilan yang pernah dibuatnya selama ini tidak pernah dijawab.

Malah, segala pertanyaan dan aduan yang disampaikan menerusi pesanan di aplikasi Whatsapp juga langsung tidak dilayan.

Menurut lelaki itu, urusannya masih tidak berjaya diselesaikan walaupun seorang kakitangan mula muncul selepas 10 minit menunggu.

Hal ini kerana, kakitangan tersebut tidak dapat membantu lelaki itu dengan alasan bahawa pekerja yang bertugas di kaunter sedang bercuti.

“Patutlah telefon tak diangkat, Whatsapp tak dibalas. Rupanya tiada seorang pun pekerja yang bertugas di kaunter. Pukul 9.13 masih tutup.

“Padahal waktu kerja 8 pagi. Ambo (saya) masuk tunggu dalam 10 minit baru keluar seorang pekerja tetapi tidak bertugas untuk jaga kaunter.

“Nak semak detail report (laporan) tak boleh, staf jaga kaunter cuti. Boleh dia tinggal kaunter kosong, teruk sungguh servis AKSB,” katanya.

Hantaran lelaki tersebut menerusi akaun Facebook peribadinya

Kejadian difahamkan berlaku di syarikat Air Kelantan cawangan Pasir Mas, namun cubaan lelaki itu untuk menghubungi ibu pejabat AKSB turut tidak berjaya.

Berjaya menyita perhatian ramai, kekesalan lelaki itu dikongsi menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Pemuda berkenaan juga sempat menyindir tindakan kerajaan Kelantan yang memohon peruntukan lebih RM8 bilion untuk mengatasi masalah air.

“Minta peruntukan sampai RM8 bilion. Kalau tahap ini (masalah pengurusan), beri RM8 barulah sepadan,” tambahnya.

Baca juga: Baru tahu Kastam ada tawar ganjaran lumayan, asalkan sedia kongsi maklumat ini