Siapa sangka, pempengaruh dikenali sebagai Qawiy yang sering memuat naik kandungan berunsur Islamik pernah terfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya sendiri suatu ketika dahulu.
Kejadian yang disifatkan titik terendah di dalam hidupnya itu berlaku ketika pempengaruh berusia 28 tahun terbabit terpalit dengan dakwaan berhubung jenayah gangguan seksual sebelum ini.
Pemilik nama sebenar Abdul Qawiy Abd Rashid itu juga mengakui merasa tertekan dengan dakwaan berkenaan sehingga cenderung untuk berfikiran negatif berikutan terlalu melayan perasaan.
Malah Qawiy yang meraih populariti menerusi kandungan ‘tebuk ngaji’ di jalanan di sekitar Malaysia itu juga sudah melakukan beberapa pencarian di internet mengenai kaedah untuk menamatkan riwayat hidup sendiri.
“Ketika itu, saya banyak menghabiskan masa di masjid seperti solat dan tidur di sana sampai tak makan. Saya buat carian di Google tentang ‘cara paling tak sakit untuk mati’ dan kemudian keluarlah cara-caranya.
“Saya buat carian lagi untuk kali kedua tentang ‘apakah hukum bunuh diri’. Walaupun saya sudah tahu, cuma nak tahu sekiranya ada kelonggaran hukum dalam melakukan perkara sepertu itu.
“Malah saya juga ada membuat carian, ‘jika masuk neraka, adakah sampai bila-bila ataupun tidak dan adakah ada peluang untuk masuk syurga,” dedah Qawiy dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Qawiy ketika menjadi tetamu jemputan dalam sesi audio siar dikendalikan oleh pempengaruh dikenali sebagai Yousaff yang mana sedutan rakamannya turut dikongsikan di plaform TikTok.
Mengulas lanjut, Qawiy memaklumkan yang dirinya mula tersedar bahawa perbuatan tersebut salah di sisi agama setelah berhubung dengan adiknya dan berhenti melakukan melakukan carian di internet.
“Disebabkan rasa takut untuk melakukan perkara itu, saya terus menghubungi adik. Dia orang pertama yang tahu tentang masalah ini selepas dua minggu saya memilih untuk berdiam diri.” Akui Qawiy dalam rakaman itu.
Terdahulu, tular satu hantaran di platform X memaparkan laporan polis dibuat oleh seorang individu mendakwanya meminta melakukan perkara tidak senonoh menerusi panggilan video selama lebih kurang 30 minit.
Individu yang katanya adalah mangsa gangguan seksual itu memberitahu bahawa Qawiy sering kali menghantar pesanan berbaur lucah sepanjang perkenalan mereka dan cuba merabanya ketika keluar bersama.
Qawiy bagaimanapun menafikan penglibatannya dalam jenayah gangguan seksual seperti yang didakwa malah menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah dan sama sekali tidak benar.
Baca juga: Hanya tunggu tanda tangan MB Selangor, rupanya permohonan kerakyatan pelakon ini belum selesai