Raih 1.8 juta tontonan, video pelajar SPM dapat ‘result’ cemerlang buat netizen hiba

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan suasana mengharukan ketika seorang pelajar lelaki mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang turut mengundang sebak orang ramai.

Mana tidaknya, rakaman dimuat naik di platform TikTok itu memperlihatkan emosi seorang bapa yang merasa sangat gembira apabila anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan penting tersebut.

Berdasarkan video berdurasi 52 saat itu, pelajar dikenali sebagai Fakhrul Iman terbabit memperoleh keputusan yang cukup membanggakan dengan pencapaian 11A+ dalam ujian berkenaan.

Namun perkara yang lebih meruntun jiwa orang ramai adalah tindakan pelajar terbabit yang segera memeluk erat bapanya sambil kedua-duanya tidak mampu lagi mengawal emosi sebelum menitiskan air mata.

Pencapaian tersebut menjadi lebih bermakna apabila bapa Fakhrul dikatakan bukan datang daripada latar belakang ‘beruntung’ sebaliknya merupakan peniaga pisang dan laksa di kawasan Port Dickson.

Perkara itu didedahkah oleh seorang pengguna TikTok yang pernah menjadi pelanggan warga emas terbabit dengan meninggalkan komen dalam perkongsian itu kerana tumpang gembira dengan pencapaian Fakhrul.

Rata-rata pengguna turut memuji kesungguhan bapa Fakhrul dalam menjalankan tanggungjawabnya dalam mendidik anak sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam pembelajarannya.

“Patutlah macam kenal. Kalau pergi Port Dickson, mesti singgahlah (kedai). Makanannya sedap dan murah. Ada masanya saya rasa macam betul ke harga, sebab murah sangat. Apa pun, Alhamdulillah dan tahniah anak dapat keputusan cemerlang. Nanti kalau saya pergi lagi, nak singgah. Nak beri sesuatu dekat anak ini,” kata seorang pengguna.

“Akak sedih, tambah pula tengok ayah adik. Lagi akak sedih. Akak tak boleh kalau melibatkan orang tua ini. Tambah pula adik buat dia rasa bangga sangat-sangat. Semoga adik terus usaha dan berjaya dalam mengejar cita-cita. Apabila berjaya nanti, jangan lupakan orang tua ya, adik. Itu sahaja pesanan akak.” Kongsi pengguna lain.

Susulan meraih perhatian ramai, Fakhrul turut tampil di ruangan komen menyampaikan penghargaan atas jasa guru-guru di sekolahnya selain berharap kisahnya itu menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk terus berjuang dalam pembelajaran mereka.

Berikut adalah komen ditinggalkan yang oleh Fakhrul dalam perkongsian video dimuat naik di akaun TikTok milik pihak Sekolah Menengah Agama (SMA) Telok Kemang itu.

Baca juga: Pakej nikah di Thailand kini boleh pakai “pay later”