Raih 2.1 juta tontonan, video warga asing makan nasi ‘berlauk’ air kosong jentik hati orang ramai

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang lelaki warga asing yang sedang menikmati nasi putih telah berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial.

Mana tidaknya, warga asing yang merupakan pekerja pembersihan itu terlihat begitu berselera menyantap nasi putih dengan hanya ‘berlaukkan’ air kosong semata-mata.

Lelaki berkenaan juga sempat mengutip nasi yang jatuh dan meletakkannya semula di dalam bekas bekal dibawanya berikutan tidak mahu membazir walaupun sebutir.

Difahamkan, warga asing terbabit memilih menikmati hidangan sedemikian semata-mata untuk berjimat sebelum menghantar gaji diperolehinya ke kampung halaman.

Pengorbanan pekerja pembersihan itu demi kebahagiaan keluarga tersayang sempat dirakam dan dikongsikan oleh pengguna TikTok yang dikenali sebagai @ben.ismail_.

@ben.ismail_

Tadi ada jumpa pekerja pembersihan yg sangat rajin masa diorg tengah rehat saja pi tengok skli dia mkn nasi letak air kosong ja bila tanya dia cakap duit nk hantar kampung… walaupun mkn mcm ni dia tetap senyum bila nasi jatuh dia kutip balik… Masyallah semoga diorg terus dilimpahkan rezeki Allah Aamin #CapCut

♬ suara asli – Rtnaku_ – Rtnaku_

“Tadi ada jumpa pekerja pembersihan yang sangat rajin. Masa mereka tengah rehat, sengaja pergi tengok. Sekali dia makan nasi letak air kosong sahaja. Bila tanya, dia cakap duit nak hantar kampung.

“Walaupun makan seperti ini, dia tetap tersenyum. Apabila nasi jatuh, dia kutip balik. Masya-Allah, semoga mereka semua terus dilimpahkan rezeki. Allahumma Aamiin,” tulis pengguna TikTok tersebut.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian yang dimuat naik oleh Ben itu berjaya meraih tontonan mencecah 2.1 juta berserta 206,300 tanda suka daripada pengguna TikTok.

Tinjauan di ruangan komen mendapati perkongsian tersebut telah berjaya menjentik hati ramai penonton supaya bersikap lebih bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan.

Rata-rata pelayar TikTok juga berkongsi rasa kagum dengan semangat warga asing terbabit untuk mengorbankan keperluan diri demi kesenangan keluarga tercintanya.

“Orang kita sahaja yang makan beria-ria termasuklah aku. Sekali makan waktu rehat tengah hari, memang RM20 tak lari. Sekarang aku amalkan konsep bawa sahaja apa yang ada dari rumah. Telur pun, telurlah. Kita cuba berjimat,” kata seorang penonton.

“Mereka yang cakap duit warga asing beribu-riban itu. Tengoklah macam mana dia bersusah payah ikat perut. Tak peliklah kalau rezeki dia beribu-riban juga sebab lebih mengutamakan tanggungjawab.” Kongsi pengguna lain menegur warga tempatan.

Baca juga: Rumah Biru ‘sign off’, netizen bersedih tiada lagi kampung ikonik berlatarkan KLCC selepas ini