Rumah Biru ‘sign off’, netizen bersedih tiada lagi kampung ikonik berlatarkan KLCC selepas ini

Oleh KIM SYAZIE

Kampung ikonik di Kampung Bharu ini merupakan satu-satunya perkampungan Melayu yang tinggal selepas pembangunan dan pemodenan mengambil alih.

Terletak di lokasi dalam lingkungan segi tiga emas menyebabkan nilai tanah di Kampung Baru dilaporkan mencecah hingga RM5.1 bilion.

Namun baru-baru ini pemilik rumah berkenaan memberi bayangan bahawa tiada lagi rumah biru tersebut selepas ini untuk memberi laluan kepada projek pembongkaran semula palong yang di tanam di bawah tanah rumah biru.

Menurut Syafiq Abdullah, dia dan keluarga telah pun berpindah keluar daripada rumah itu pada 1 Jun lalu.

Namun katanya, mereka sekeluarga akan kembali semula ke tanah tersebut dalam tempoh empat tahun lagi.

“Kampung ku Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Di Jalan Salleh, kini telah berakhir menetap disini drpd tahun 1984 hingga 31.05.2024 untuk memberi laluan untuk projek pembongkaran semula palong yang di tanam di bawah tanah rumah biru.

“Jabatan Perparitan dan Saliran Kuala Lumpur mengambil masa 4 tahun bagi menyiapkan projek ini. 

“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh 3 atau 4 tahun. Dengan harapan selepas ini kami pulang semula ke tanah kami ini,” katanya sambil menulis “Rumah Biru Sign Off”.

Tidak dapat dipastikan sama ada rumah tersebut akan dirobohkan.

Syafiq bagaimanapun menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang pernah hadir untuk bergambar.

Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya meluahkan rasa sedih kerana satu-satunya kampung di tengah bandar mungkin akan dirobohkan.

Ada juga yang menitipkan pesanan agar rumah itu dikekalkan dengan ciri kampung yang sama selepas ini.

Baca juga: Jumpa RM10k dalam dompet, gelandangan nekad serahkan kepada polis, tak mahu ambil hak orang