Rakan Amira Othman turut doakan keluarga Fazura, mohon netizen berhenti laga-lagakan

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Salima Habibi yang juga rakan kepada penyanyi, Amira Othman merasa kesal apabila segelintir pihak bertindak menyebarkan fitnah dan melaga-lagakan orang lain.

Luahan itu dikongsikan Salima menerusi hantaran dimuat naik di akaun media sosial Threads miliknya baru-baru ini dipercayai berkaitan dengan perkahwinan rakannya Amira bersama pelakon terkenal, Fattah Amin pada Ahad lalu.

Menurut Salima, rakan Amira juga tidak pernah bercerita perkara yang bukan-bukan tentang orang lain sebaliknya sentiasa berdoa agar Allah memudahkan urusan mereka termasuk kepada keluarga bekas isteri Fattah, Nur Fazura.

Salima tidak menafikan ujian pengguna media sosial buat kali ini cukup besar namun berharap mereka yang sudah terlanjur berkongsi fitnah untuk segera beristighfar atau memohon keampunan kepada Allah SWT.

“Kami, kawan-kawan Amira tidak pernah bercerita yang bukan-bukan tentang orang lain. Sentiasa doa dan minta Allah mudahkan urusan mereka. Untuk keluarga bekas isteri juga selalu kami doakan. Sebab kita semua hamba Allah.

“Ujian buat netizen kali ini cukup hebat. Banyak membuat fitnah dan kongsi cerita rekaan versi sendiri serta melaga-lagakan. Jangan, kita minta kebaikan untuk semua. Kita minta Allah jaga semua. Kita minta Allah beri yang terbaik untuk semua.

“Kerana kita sentiasa tak tahu. Tetapi Allah itu Maha Tahu. Mana-mana yang sudah terlepas (berkata buruk), Istighfar ya. Doakan yang baik-baik,” kata Salima yang juga isteri kedua kepada pendakwah bebas, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre itu.

Terdahulu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman selamat diijabkabulkan bersama Fattah dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di sebuah hotel di Sepang, Selangor pada jam 9.07 malam Ahad.

Mereka sah bergelar pasangan suami isteri dengan sekali lafaz selepas dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berwakil walikan bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.

Dalam majlis tersebut, Fattah yang juga merupakan pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas tunai berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.

Baca juga: Pilih tak bertudung, Putri Dahlia anggap diri lebih rapat dengan Allah