Di tengah kita berhadapan dengan kes Covid-19 yang tiada berkurangan berlegar sekitar 5,000 ke 6,000 lebih dalam sehari, musim durian datang lagi. Namun dalam situasi rakyat sedang ikat perut harga durian yang ditimbang dengan kulit berduri itu dirasakan mahal.
Tidaklah dipastikan siapakah yang membuat keputusan supaya harga durian ditimbang dengan kulitnya sekali, adakah ini keputusan oleh persatuan penjual durian supaya mendapat keadilan seperti buah-buahan lain yang dijual dengan kulitnya.
Banyaklah rungutan orang ramai mengenai timbangan buah durian dengan kulitnya itu. Ini juga berlaku apabila durian menjadi suatu industri besar-besaran di mana musang king merupakan jenama spesies terbilang
atau raja durian.
Tinjaun saya di Lazada mendapati dua ulas sebesar anak kucing tidor dijual mencecah harga RM257. Rata-rata jualan durian di tepi jalan harganya antara RM8 hingga RM22 sekilogram (kg) bagi durian kampung, Musang King (RM25-RM50kg), IOI (RM30-RM35kg), Udang Merah (RM30kg), D13 (RM22-RM28kg) dan D88 (RM22kg).
Peribahasa Melayu mengatakan antara durian dengan mentimun, menggolek rosak, kena golek binasa. Pembeli merungut harga durian mahal tetapi bagaikan timun, peniaga durian adalah raja menentukan harga di mana pembeli tidak boleh berbuat apa-apa untuk menolaknya.
Peribahasa popular durian dengan mentimun menggolek rosak, kena golek binasa
Daripada rujukan di pencarian Goole banyak maksudnya seperti orang yang berkuasa mudah mengalahkan orang lemah, perlawanan yang tidak seimbang, orang yang berpangkat rendah sentiasa salah jika berketuakan orang yang zalim dan orang yang lemah tidak boleh melawan orang yang kuat kerana baik buruknya orang yang lemah itu yang akan beroleh binasa,
Apa yang dapat saya perhatikan daripada peribahasa ini ialah hubungan antara pemimpin dan rakyat. Nampaknya orang dahulu tidak meletakkan banyak harapan kepada kuasa rakyat.
Bagi mereka buatlah macam mana pun akhirnya rakyat juga akan kena bahananya. Rakyat sentiasa dianggap lemah, tidak berkuasa, hubungan pipit sama pipit dan enggang sama enggang atau antara dua darjat.
Pemimpin dianggap tiada adab dalam melayan rakyat yang dianggap bagaikan timun tidak bernilai dan hanya berharga ketika pilihan raya atau kepentingan tertentu. Oleh itu sejauh manakah nilaian kerajaan atau pemimpin terhadap rakyat sekarang?
Saya akan menjurusnya kepada hubungan durian dan timun menyentuh sedikit daripada perspektif komunikasi. Dalam zaman moden apabila komunikasi sehala memainkan peranan di mana media tradisional seperti televisyen, radio, akhbar dan majalah merupakan media arus perdana.
Sebarang isu salah guna kuasa, rasuah atau perubahan kepimpinan umpamanya, rakyat tidak dapat memainkan peranan dalam memberikan hujahan, kritikan atau ulasan. Mereka memberikan pandangan jika dminta.
Bayangkan bagaimana hendak mengkritik sebarang tindak tanduk kerajaan yang bersalahan jika media arus perdana dikuasai pemerintah.
Pembangkang atau rakyat tidak mempunyai capaian kepada media elektronik kerana memerlukan lesen, perlu
mendapat kebenaran kementerian penerangan pada masa itu dan kosnya memakan ratusan juta ringgit.
Satu-satu saluran rakyat hanyalah media cetak di mana akhbar pembangkang dapat memainkan peranan itu dengan menerbitkan majalah bulanan, akhbar edisi dua minggu sebulan atau secara berkala. Selain itu isu yang ditimbulkan di Parlimen.
Rakyat sekadar boleh membuat demontrasi jika merasakan isu tersebut mendesak atau mendengar ceramah pemimpin pembangkang. Satu-satunya kuasa rakyat ialah semasa mengundi di mana mereka boleh membuat pillihan siapa yang hendak mewakili mereka bersandarkan parti yang disokong.
Tetapi ia masih terbatas dengan pengecualian tertentu di sesetengah kawsasan DUN dan Parlimen.
‘Rakyat ibarat mentimun, kerajaan pula adalah duriannya’
Rakyat masih menjadi mentimun, durian adalah pemerintah dan hubungannya berbentuk yang memerintah dan diperintah di mana terdapat jarak dalam hubungan rakyat dan pemerintah. Rakyat dilihat masih lemah tidak berupaya menentang kerajaan yang memerintah.
Namun sejak wujudnya Internet pada awal dekad 1990-an suasana telah berubah Kewujudan ruang siber telah membuka medan luas kepada rakyat atau lebih dikonsepsikan sebagai netizen atau warga Internet untuk membuat ulasan, komen atau kritikan.
Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri atas alasan salah guna kuasa dan sodomi sehingga dipenjarakan sebanyak dua kali oleh dua bekas Perdana Menteri, rakyat tidak lagi seperti timun malah sudah berani melawan durian.
Internet dijadikan medan perjuangan rakyat dan dengan kemunculan media sosial maka bergempitalah suara rakyat dalam menyuarakan pandangan, hasrat, kritikan, ulasan, atau terkadang sampai kepada cacian dan makian. Komunikasi tidak lagi sehala atau dua hala tetapi bersifat transaksi berbilang hala.
Maka tidak hairan bagaimana sumbangan rakyat melalui media sosial telah memberikan kesedaran sehingga terjatuhnya kerajaan BN dan Umno yang memerintah selama lebih 50 tahun itu.
Keadaan semasa itu dengan isu 1MDB dan beberapa bekas pemimpin kanan menyertai parti pembangkang membentuk gabungan Pakatan Harapan (PH).
Namun faktor Anwar merupakan pencetus utama dalam kejatuhan BN dan media adalah saluran utama dalam menyalurkan maklumat.
Meskipun media sosial dapat membantu rakyat mendapat maklumat, diberikan kebebasan mengkritik, kemukakan pandangan dan ulasan, tetapi pada waktu yang sama perang saraf, propaganda, manipulasi, berita setengah masak dan berita palsu juga diedarkankan.
Ini kerana media sosial adalah medan bebas yang tiada sekatan kecuali beberapa isu sensitif negara. Ia telah mencetuskan kekeliruan dalam berita dan maklumat yang diterima, manakah yang hendak dipercayai.
Ruang di media sosial umpamanya telah sampai ke satu tahap di mana kebenaran dan kebatilan telah bercampur baur di mana garis pemisah telah kabur dan kekacauan telah berlaku di ruang siber di dalam talian.
Walaupun netizen mendakwa mereka raja di media sosial, tindakan di dunia realiti dalam polisi, strategi dan percaturan politik berada di luar jangkauan rakyat, menyebabkan rakyat lemah kekadang terkapai-kapai.
Langkah Sheraton telah membuat rakyat bagaikan mentimun, hampa dengan pengkhianatan yang telah lakukan namun rakyat tidak akan lupa dengan apa yang berlaku.
Situasi Kovidtokrasi, permainan politik di sebalik pelitup membawa kembali hubungan rakyat bagaikan mentimun. Di samping darurat bertujuan membendung kes Covid-19 secara tidak langsung ia juga dapat digunakan sebagai pelitup melanggengkan kuasa.
Tindakan kerajaan PN yang melaksanakan darurat demi membendung penularan Covid-19 dengan menggantung parlimen supaya jalinan kerja dapat dijalankan dengan lancar seolah-olah menyamakan hubungan durian dengan mentimun.
Tetapi kes tidak turun malah situasi semakin buruk menjadikan rakyat daripada sudut manapun terdedah kepada keadaan ekonomi pincang.
Rakyat semakin mendesak supaya sesuatu langkah proaktif dilakukan dan mereka tidak mahu diberlakukan seperti mentimun. Desakan rakyat melalui media sosial semakin memuncak dan Yang di-Pertuan Agong yang memahami hasrat rakyat bertitah supaya parlimen disegerakan pembukaannya.
Suara rakyat yang menyoal strategi mengawal Covid-19 dan pengurusan ekonomi telah bertukar menjadi medan mengkritik kerajaan.
Mereka tidak mahu hidup bagaikan mentimun, hubungan terkulai yang tidak dapat berbuat apa-apa. Akibat hubungan durian dengan mentimun inilah kempen keprihatinan secara sukarela #KempenBenderaPutih timbul.
Kempen ini membantu ahli masyarakat di sekeliling – taman perumahan atau dalam satu kawasan
dengan kaedahnya dengan mangibarkan bendera putih menunjukkan betapa parah situasi masyarakat sekarang.
Dalam keadaan sebahagian masyarakat terkesan teruk dengan pandemik Covid-19, apa sahaja usaha yang menjurus kepada pertolongan, terutamanya dalam jangka pendek seharusnya disokong. Ini satu sikap terpuji yang ditunjukkan oleh masyarakat.
Ia mengingatkan kepada janji-janji orang yang memegang kuasa sekarang pada suatu ketika dulu. Janji-janji itu dibuat dengan berita yang muluk-muluk dan segera juga.
Rakyat harus keluar daripada kerangka dan acuan hubungan durian dengan mentimun.
Mereka telah memilih pemimpin untuk mewakili mereka maka ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen seharusnya menjadi hamba rakyat. Apa kata kalau wakil raykat jadi mentimun pula?
Namun sebagai mentimun, rakyat tetap bersabar kerana entahlah adakah Pemulih akan memulihkan kita mencari penyelesaian yang dipilih, sebagaimana telah diumumkan, diharap tidak membiarkan rakyat menjadi mentimun di musim durian ini?
Sejauh manakah rakyat akan mendapat durian runtuh dalam pelan pemulihan negara ini?
—————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti