Rakyat Malaysia dedah realiti pahit kerja di Singapura, sebulan dapat RM11,000 pun masih susah menabung

Oleh KIM SYAZIE

Perbezaan kadar tukaran mata wang sering dilihat sebagai peluang keemasan buat rakyat Malaysia untuk meningkatkan taraf hidup dengan bekerja di luar negara, khususnya di Singapura. 

Namun di sebalik angka gaji yang kelihatan lumayan, semakin ramai mula menyedari bahawa pendapatan tinggi tidak selalunya menjamin kestabilan kewangan atau kesejahteraan hidup.

Perkongsian dua kisah rakyat Malaysia yang dipetik daripada Says.com mendedahkan realiti yang jarang diperkatakan.

Seorang pekerja Malaysia berkongsi bahawa selepas tiga tahun bekerja di Singapura dengan pendapatan sekitar SGD3,500 (kira-kira RM11,000) sebulan, dia hanya mampu mengumpul simpanan kurang daripada RM10,000.

Walaupun sudah berusaha lebih masa, berjimat cermat dan hidup secara sederhana, sebahagian besar pendapatannya habis untuk kos sara hidup yang tinggi seperti sewa rumah, pengangkutan, perbelanjaan harian serta kiriman wang kepada keluarga di Malaysia.

Lebih membimbangkan, tekanan kewangan itu mula menjejaskan kesihatan mentalnya. 

Pada usia 30 tahun, dia mengakui berasa tersekat dalam kehidupan, sukar melihat masa depan yang cerah dan kini berdepan simptom gemuruh serta insomnia.

Kisah kedua pula datang daripada seorang lagi rakyat Malaysia yang baru berhenti kerja selepas lima tahun berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura.

Rutin hariannya sangat memenatkan. Bangun sebelum Subuh, mengharungi kesesakan jalan raya dan beratur panjang di imigresen, bekerja berjam-jam sebelum pulang hampir tengah malam.

Menurutnya, dia menghabiskan sehingga 18 jam sehari hanya untuk bekerja dan perjalanan ulang-alik, dengan purata tidur kurang daripada enam jam sehari. 

Keletihan yang berpanjangan akhirnya memberi kesan serius terhadap dirinya.

“Saya tidak bimbang dengan kerja yang berat, tetapi saya lebih takut tidak cukup hidup lebih lama untuk berjumpa isteri dan anak-anak saya,” katanya.

Baca juga: “Kenapa Dicky je?” – Stesen radio dedah sudah ‘reach out’, tapi ditolak secara baik