Rakyat Melaka keluar awal mengundi hari ini dan nampaknya tidak takut dengan sebarang ancaman dan merasa selamat untuk mengundi. Pada jam 9 pagi, sudah 7 peratus keluar mengundi, lapor SPR.

Calon ketua menteri mereka dari PH, Adly Zahari, turun ke SK Durian Tunggal untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pagi ini.
Turut serta bersama Adly yang berbaju putih adalah isteri beliau, Dalilah dan anak beliau.
Adly mempertahankan kerusinya di Bukit Katil tetapi merupakan pengundi di Durian Tunggal di mana timbalannya, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab mempertahankan kerusi itu.
Selepas mengundi, Adly bersama isteri dan anak menunjukkan jarinya yang berdakwat.
Bercakap kepada media, Adly menggesa pengundi untuk keluar mengundi lebih awal.
“Ya, cuaca mendung, tetapi saya fikir ia akan menjadi lebih baik pada tengah hari. Kami berharap undi dibuang secepat mungkin,” katanya.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Mohd Sofi memenangi Durian Tunggal dengan hanya majoriti 763 undi. Dia memperoleh 5,213 undi berbanding calon BN 4,450 undi dan PAS 1,391 undi.
Pada pilihan raya kali ini, Sofi berdepan calon BN Zhari Abd Kalil, calon PN Ja’afar Othman dan calon bebas Mohd Erfan Mahrilar.
Calon ketua menteri PN Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin juga keluar awal mengundi.
Beliau mengundi di SK Ramuan China Besar, Masjid Tanah.
Beliau gembira melihat proses pengundian telah bermula dengan lancar dan berharap pengundi akan keluar beramai-ramai untuk membuang undi.