“Ramai datang Bukit Bintang sebab nak tengok Thalita, sekali DBKL yang dapat untung”

Oleh WAN SITI AMINAH

Anak kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Thalita tampil membuat persembahan nyanyian pertamanya di Bukit Bintang, pada malam Jumaat lalu dalam satu acara yang dianjurkan oleh Radio ERA.

Menerusi beberapa rakaman yang tular di platform media sosial, terlihat begitu ramai pengunjung memenuhi lokasi acara dijalankan di mana Thalita turut menyanyikan lagu Allahyarham ibunya, Siti Sarah Raisuddin iaitu Kesetiaan.

Namun di sebalik keterujaan pengunjung menyaksikan persembahan kanak-kanak berusia 11 tahun itu, terdapat kejadian lain berlaku pada hari yang sama di mana beberapa buah kenderaan ditarik oleh pihak berkuasa.

Kereta berkenaan dipercayai diparkir di tepi jalan di Bukit Bintang oleh pengunjung yang menonton persembahan Thalita sebelum ditarik oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Malah kejadian itu juga sempat dirakam oleh pengguna TikTok yang memaparkan beberapa buah lori tunda milik DBKL mengangkut kenderaan dipercayai telah diparkir di kawasan terlarang.

Sebuah kereta jenis Suzuki Swift berwarna biru dilihat ditarik oleh lori tunda dalam rakaman berdurasi 39 saat itu sebelum diikuti dengan satu lagi kenderaan Perodua Axia yang berwarna kelabu perak.

@baimarifin_

Tertanya-tanya jugak kalau kereta kene tarik berapa ye kene bayar saman ada yang tau? #dbkl #era #thalita #towing

♬ original sound – BaimArifin – BaimArifin

“Ramai orang datang ke Bukit Bintang sebab nak tengok Thalita (menyanyi). Sekali DBKL yang dapat untung. Nak kasihan lebih-lebih juga, tak boleh. Sebab memang salah pemilik kenderaan.

“Tertanya-tanya juga. Kalau kereta kena tarik oleh DBKL, berapa ya kena bayar saman? Ada orang yang tahu?,” soal perakam video dalam perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut sudah meraih 1.1 juta tontonan dengan rata-rata pengguna meluahkan rasa simpati selain memahami perasaan pemilik kereta apabila kenderaan ditarik.

Ramai juga pengguna bersetuju dengan tindakan DBKL menarik kenderaan yang memarkir di kawasan yang salah berikutan perbuatan tersebut telah menyebabkan jalan di Bukit Bintang sesak.

“(Hari persembahan diadakan), memang lekat habis. Dari bulan lalu, jalan sesak semacam di Bukit Bintang ini. Saya setuju pihak berkuasa buat macam ini. Menyusahkan orang nak lalu,” kata seorang pengguna.

“Banyak kali menangis tahu tak. Tengok Thalita (nyanyi), menangis. Tengok kereta sendiri, nangis lagi. Tengok diri sendiri pun rasa nak menangis.” Kongsi pengguna lain selepas menonton perkongsian itu.

Baca juga: Hidung nampak lain? Ayu Damit akui buat ‘thread lift’ sebelum masuk GV7, faktor kesihatan antara punca