Ramai suka mengkritik berdasarkan apa yang dimuat naik di media sosial, walhal tak semua benda akan dikongsikan untuk tatapan umum.
Buat pempengaruh yang semakin tular di TikTok, Nur Syamimi menambat hati ramai dengan reka bentuk rumahnya yang terlihat cantik.
Walaupun duduk di perumahan orang berpendapatan rendah, Syamimi nekad ubah persepsi orang mengenai kebersihan yang sering menjadi isu di kawasan tersebut.
Rupa-rupanya disebalik video mengenai rumahnya itu ada kisah duka yang tersembunyi kemas.
Menurut Nur Syamimi, dia terpaksa berhenti belajar untuk menyelesaikan hutang rumah peninggalan arwah ibunya.
“Ummi baru berapa bulan beli rumah ni dan tiba-tiba meninggal dunia. Saya cari kerja untuk bayar semua hutang Ummi. termasuk habiskan bayaran rumah di usia saya 20 tahun, seorang diri di Kuala Lumpur supaya Ummi tenang di ‘rumah baru’.
“Saya simpan rapi kisah ni sebab saya sangat perahsia orangnya dan tak manis pun nak jelaskan pada orang luar.
“Sangat banyak jumlahnya tetapi sebelum memiliki rumah ni, saya perlu ‘ditemu duga’ oleh tuan hakim membuktikan umur 20 tahun boleh tak uruskan rumah ni.
“Bil elektrik dan air tertunggak ribuan ringgit, baki pinjaman rumah juga sangat banyak. Rumah ini diberikan kepada saya kerana saya berjaya lunaskan baki,” jelasnya dalam Instastory.
Walaupun menerima kecaman hebat kerana memiliki peralatan rumah yang mahal walhal hanya menetap di sebuah flat Program Perumahan Rakyat (PPR).
Syamimi tidak melenting malah berhasrat jika berkemampuan lebih maka dia akan mencari rumah baru dan rumahnya akan diberikan kepada adiknya.
“Saya juga pernah berseloroh sebelum ini, ingat tak? Jika saya ada rumah baru, rumah ini dan segala isinya akan saya hadiahkan kepada buah hati saya, Syarina.
“Sekarang visi saya adalah membeli kebahagiaan buat adik, suami, adik ipar dan anak anak. Hidup saya kelihatan sempurna sebab saya impikan ia sebegini.
“Apa yang terlihat hari ini, cara saya merealisasikan mimpi itu,” ujarnya.
Bukan senang untuk mengubah nasib diri tanpa usaha yang kuat, jika anda tidak mampu untuk capai impian anda jangan musnahkan impian mereka yang sudah berusaha.