Rauf calon KM, yang lain majoritinya budak baharu

Oleh BORHAN AHMAD

Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang akan bertanding di kubu kuat Umno, iaitu Tanjung Bidara disusun untuk menjadi ketua menteri Melaka yang baharu jika BN menang dalam pilihan raya negeri Melaka.

Bersama beliau adalah calon-calon muda yang dijangka tidak akan menyusahkan beliau sebagai ketua menteri nanti.

Itulah pandangan pelbagai pihak ekoran pengumuman bahawa Umno Melaka mencalonkan ramai orang muda di samping Rauf sebagai calon mereka.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka pimpinan Umno tidak stabil kerana banyak pihak yang tidak senang dengan Rauf yang hanya Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka tetapi bertindak lebih berkuasa dari ketua menteri sendiri.

Ekoran pergolakan itu, kerajaan negeri Melaka roboh apabila bekas ketua menteri semasa BN dahulu, Datuk Seri Idris Harun bertindak keluar dari kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan dakwaan ada kuasa lain di luar barisan Exco Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mamaklumkan, partinya akan mengemukakan calon dan muda baharu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, BN juga tidak mengetepikan calon lama jika mereka berkebolehan dan diterima masyarakat setempat.

“Seramai 497,000 pengundi Melaka mahukan sesuatu yang baharu, jadi menerusi perbincangan dengan pengarah pilihan raya negeri dan bersama Perdana Menteri selepas ini, saya yakin mereka juga akan memilih calon muka baharu.

“Tetapi ini tidak bererti yang lama tidak baik, walaupun saya tidak dapat membaca hati mereka, namun saya harap mereka memberi ruang kepada anak muda ini,” katanya berucap pada pelancaran jentera PRN Melaka, 27 Oktober lalu.

Mengikut senarai yang disebarkan, bekas ketua menteri yang terguling, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan bertanding di Lendu.

Turut disebut sebagai bakal calon adalah Penolong Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh turut disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon PRN kali ini.

Sebelum ini, Ab Rauf menyatakan pihaknya sedang menilai 60 peratus muka baharu untuk dinamakan sebagai calon BN pada PRN Melaka, selain meneliti prestasi penyandang kerusi DUN sedia ada sama ada masih layak dicalonkan semula atau sebaliknya.