Rezeki tak salah alamat, pemuda kongsi bagaimana dari kerja ‘pak guard’ kini jadi pramugara

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemuda mencetuskan inspirasi bagaimana dia yang dahulunya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan, boleh menggapai kejayaan dalam industri penerbangan.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Ikram yang menetap di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan selama setahun sahaja iaitu bermula 2020 hingga 2021.

Namun selepas berhenti, dia nekad meneruskan pengajian dalam bidang Diploma Pentadbiran Perniagaan di University of Cyberjaya (UOC).

Mengenai bagaimana dia boleh bekerja di awan biru, Muhammad Ikram berkata dia sebelum itu pernah bekerja di sebuah pusat gimnasium, di mana ada antara pelanggannya merupakan seorang pramugara.

Pada waktu itulah ada antara mereka yang memberi galakkan untuk menyertai sesi temu duga menjadi pramugara.

“Alhamdulillah, saya diterima akhirnya, dan itu pun selepas tiga kali mencuba,” katanya memetik Harian Metro.

Muhammad Ikram berkata, kerjaya sebagai pramugara salah satu impiannya, jadi dia amat gembira selepas terpilih menjadi anak kapal.

“Cuma waktu awal memang agak lambat sikit untuk buat kerja tapi lama kelamaan okay.

“Kini, saya pun sudah lebih setahun bekerja sebagai pramugara dan bersyukur juga sebab dapat pergi bermacam tempat antaranya India, Australia serta China sebab tak jangka dapat,” katanya menurut portal tersebut.

Muhammad Ikram juga banyak berkongsi kisah kejayaannya di TikTok dengan harapan supaya golongan muda tidak terus berada di tahap sama.

“Maksud saya, jangan terlalu selesa…tak salah pun misalnya kalau jadi pengawal keselamatan kerana itu kerja yang halal.

“Tapi jika ada peluang sambung pengajian atau kerja dengan tawaran gaji lebih baik, tak salah mencuba.

“Bagaimanapun, kena ingat pelajaran penting jadi apa pun, sambung belajar dulu jika ada peluang. Itu pun yang ibu bapa saya selalu pesan,” katanya lagi seperti dilapor.

Baca juga: Baru kerja 4 bulan, CEO kedai kopi popular dapat bayaran RM420 juta!